
KUALA LUMPUR, 29 September – Pakatan Harapan (PH) menegaskan tiada sebarang perbincangan rasmi diadakan dengan BERSATU berhubung kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
- Fahmi Fadzil berkata pertemuan dilaporkan hanya sesi makan malam, bukan perbincangan politik rasmi.
- Beberapa pemimpin kanan BERSATU dilaporkan hadir, termasuk Tun Faisal, Mohamad Ali, Sri Sanjeevan dan Hishamuddin.
- Keputusan rasmi mengenai sebarang muafakat politik akan ditentukan oleh Majlis Presiden; setakat ini belum ada perkembangan.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil memberitahu, laporan mendakwa pertemuan kedua-dua pihak di sebuah hotel di Melaka semalam hanyalah sekadar sesi makan malam dan bukannya perundingan politik rasmi.
Pertemuan tertutup itu dilaporkan media melibatkan barisan pemimpin kanan BERSATU termasuk Ketua Penerangan BERSATU Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Pengarah Pilihan Raya BERSATU Melaka Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Turut hadir, Ketua Bersekutu BERSATU Malaysia merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU Datuk R Sri Sanjeevan dan Ketua Penerangan BERSATU Melaka Datuk Hishamuddin Abdul Karim.
“Tiada dibincangkan dengan saya… saya tidak hadir dan tidak ada maklumat mengenai sebarang perbincangan khas berkenaan,” kata Datuk Seri Fahmi ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pembiayaan Inisiatif Ubat Melalui Pos di sini hari ini.
Mengulas spekulasi pembentukan gabungan PH Plus, Datuk Seri Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan sebarang pendirian rasmi mengenai muafakat politik hanya akan diputuskan di peringkat pimpinan tertinggi.
“Apa-apa keputusan akhir untuk PH akan dibuat melalui Majlis Presiden. Kita tunggu Majlis Presiden, setakat ini belum ada apa-apa perkembangan,” jelas beliau.