
ISKANDAR PUTERI, 29 September – Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini dijadual mula beroperasi pada 1 Januari 2027 selepas siap sepenuhnya, sekali gus menyediakan prasarana kehakiman yang lebih kondusif dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
- Kompleks lima tingkat bernilai RM194.5 juta dilengkapi 24 bilik bicara serta kemudahan sokongan.
- Bangunan mahkamah lama akan diserahkan semula kepada kerajaan negeri; perancangan penggunaan akan diumumkan.
- Perluasan mahkamah bergerak di Sabah dan Sarawak disarankan untuk memperluas akses keadilan penduduk pedalaman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kompleks lima tingkat bernilai RM194.5 juta itu dilengkapi 24 bilik bicara serta pelbagai kemudahan sokongan.
“Saya nak ucap terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana daripada tahun 2023, ia siap pada 2026. Maknanya dalam tempoh tiga tahun, kita dapat siapkan bangunan sebesar ini dengan kos RM194 juta lebih, lima tingkat dan 24 bilik mahkamah. Saya rasa ia adalah pencapaian yang baik dan wajar dibanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini, hari ini.
Sementara itu, bangunan mahkamah lama akan diserahkan semula kepada kerajaan negeri selepas operasi berpindah ke kompleks baharu.
Datuk Seri Azalina berkata, perancangan mengenai penggunaan bangunan lama berkenaan telah dirangka dan akan diumumkan oleh kerajaan negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, terdapat keperluan untuk memperluas penggunaan mahkamah bergerak di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan yang mempunyai jarak perjalanan jauh ke mahkamah.
Langkah itu bertujuan memastikan akses kepada keadilan dapat diperluas, terutama bagi penduduk di kawasan pedalaman dan lokasi yang jauh daripada kompleks mahkamah sedia ada.