Korban serangan udara Myanmar meningkat kepada 50 orang

Foto AFP

KYAUKTAW, 29 September – Angka kematian akibat serangan udara tentera di barat Myanmar meningkat kepada 50 orang, sehari selepas serangan itu menyasarkan sebuah pasar yang sibuk, menurut dua petugas bantuan tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan udara mengebom kawasan perdagangan tebing sungai di Kyauktaw sekitar tengah hari, menyebabkan kebakaran dan kerosakan.
  • Petugas bantuan mengesahkan ramai cedera, dan sebahagian mayat musnah dalam kebakaran selepas pengeboman.
  • Tentera Arakan nyatakan mangsa terdiri daripada orang awam, peniaga, pembeli dan pekerja memunggah barangan.
  • Rakhine terjejas teruk; AA kuasai hampir seluruh negeri, manakala tentera Myanmar masih menggunakan pesawat pejuang asing.

Menurut saksi, tentera mengebom kawasan perdagangan di tebing sungai di bandar Kyauktaw, negeri Rakhine, sekitar tengah hari Isnin, menyebabkan angka korban awal dilaporkan sekitar 30 orang.

“Angka kematian mencecah 50 orang, manakala 58 lagi cedera,” kata seorang petugas bantuan, Wai Hun Aung, sambil memberi amaran bahawa jumlah sebenar korban mungkin lebih tinggi berikutan sebahagian mayat musnah dalam kebakaran selepas pengeboman.

Seorang lagi sukarelawan tempatan mengesahkan angka kematian sama, namun meminta identitinya dirahsiakan atas faktor keselamatan.

Usaha mendapatkan ulasan pihak tentera Myanmar berhubung serangan itu tidak berhasil.

Tentera Arakan (AA), kumpulan pemberontak etnik tempatan yang menguasai kawasan berkenaan, sebelum itu memaklumkan angka korban meningkat kepada 49 orang dengan 58 lagi cedera, termasuk 22 dalam keadaan kritikal.

Menurut kenyataan AA, mangsa yang maut terdiri daripada orang awam, peniaga pasar, pembeli dan pekerja memunggah barangan.

Pasar dan jambatan bersebelahan yang terkena serangan itu menjadi pusat kegiatan perdagangan sejak perang saudara tercetus di Myanmar susulan rampasan kuasa tentera pada 2021.

Rakhine antara wilayah yang paling terjejas akibat konflik berkenaan dan sebahagian besarnya terputus hubungan dengan kawasan lain di Myanmar.

Pasar itu berkembang melalui laluan perdagangan sungai ke India yang menjadi antara talian hayat penduduk tempatan.

AA kini menguasai hampir keseluruhan negeri Rakhine, kecuali beberapa pusat bandar yang masih dipertahankan tentera Myanmar menggunakan pesawat pejuang buatan Rusia dan China.

Pasukan udara tentera Myanmar turut dituduh melakukan kekejaman terhadap orang awam dengan menyasarkan sekolah, biara dan sambutan keagamaan, yang menurut kumpulan hak asasi mungkin merupakan jenayah perang.

Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan hampir 500,000 penduduk di Rakhine terpaksa berpindah akibat konflik.

Menurut pemantau konflik ACLED, lebih 100,000 orang terbunuh dalam konflik di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan dipilih pimpinan Aung San Suu Kyi. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.