
GENEVA, 29 September – Sistem kesihatan Yaman kini di ambang lumpuh susulan peningkatan konflik yang menyebabkan ratusan orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 145,000 penduduk berpindah bulan ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
- Konflik terbaharu mendorong sistem kesihatan Yaman ke titik kritikal, menurut WHO.
- Sembilan kemudahan di Taiz, Lahj dan Hodeidah rosak, ditutup atau diserang secara langsung.
- Perkhidmatan obstetrik kecemasan dan penjagaan bayi baru lahir digantung di dua hospital.
- Wabak taun, denggi dan campak meningkat; bekalan penting habis dan WHO hanya terima AS$2 juta daripada AS$9 juta diperlukan.
Pengarah Kecemasan WHO bagi rantau Mediterranean Timur, Annette Heinzelmann berkata konflik terbaharu semakin menekan sistem kesihatan yang sudah rapuh selepas lebih sedekad dilanda perang saudara.
“Peningkatan konflik terbaharu di Yaman mendorong sistem kesihatan yang sudah rapuh ke arah titik kritikal,” katanya kepada pemberita di Geneva menerusi pautan video dari Kaherah.
Beliau berkata sembilan kemudahan atau aset kesihatan di Taiz, Lahj dan Hodeidah rosak, ditutup, tidak dapat digunakan atau diserang secara langsung.
Malah, perkhidmatan obstetrik kecemasan dan penjagaan bayi baru lahir digantung di dua hospital selepas petugas serta kapasiti operasi dialihkan bagi merawat mangsa kecederaan.
Menurut WHO, hanya kira-kira 60 peratus kemudahan kesihatan Yaman beroperasi sepenuhnya sebelum peningkatan konflik terbaharu.
Keadaan itu turut meningkatkan risiko penularan penyakit.
Hampir 8,000 kes taun disyaki direkodkan sejak awal tahun ini dengan 22 kematian, manakala lebih 9,600 kes denggi dilaporkan termasuk 37 kematian.
WHO turut merekodkan lebih 22,000 kes campak disyaki dengan 128 kematian tahun ini.
WHO memaklumkan hampir 60 tan bekalan perubatan sudah dihantar kepada 40 kemudahan kesihatan di 10 wilayah Yaman, namun beberapa bekalan penting termasuk kit trauma dan ubat-ubatan sudah kehabisan stok.
Heinzelmann berkata WHO baru memperoleh AS$2 juta daripada AS$9 juta diperlukan untuk operasi tindak balas kecemasan di Yaman dan menggesa lebih banyak pembiayaan disalurkan. – AFP