Guru maut ditikam pelajar 13 tahun

Foto AFP

BRATISLAVA, 29 September – Seorang guru maut manakala seorang lagi guru dan seorang pelajar cedera selepas diserang menggunakan pisau oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di barat laut Slovakia, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar lelaki berusia 13 tahun ditahan dan disiasat atas kesalahan membunuh.
  • Serangan berlaku selepas tamat kelas pertama, menurut Menteri Dalam Negeri.
  • Seorang guru wanita 61 tahun meninggal dunia; guru lain ditikam di dada; seorang pelajar perempuan cedera.
  • Polis kawal keadaan; pemimpin negara beri takziah dan gesa meredakan ketegangan.

Menurut polis, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.00 pagi waktu tempatan di kampung Staskov, berhampiran sempadan Republik Czech.

Susulan itu, seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun ditahan.

Menteri Dalam Negeri, Matus Sutaj Estok berkata serangan berlaku selepas tamat kelas pertama.

“Pagi ini, selepas kelas pertama, seorang pelajar sekolah melancarkan serangan menggunakan pisau,” katanya kepada pemberita.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan, Petra Klimesova berkata seorang guru wanita berusia 61 tahun meninggal dunia akibat kecederaan, manakala seorang lagi guru wanita berusia 44 tahun mengalami luka tikaman di dada.

Seorang pelajar perempuan turut cedera dan dikejarkan ke hospital.

Menteri Kesihatan, Kamil Sasko berkata pelajar berkenaan berada dalam keadaan serius dan kritikal serta mengalami kejutan neurologi teruk.

Bagaimanapun, Sutaj Estok kemudian memaklumkan nyawa guru yang cedera tidak berada dalam bahaya.

Polis memaklumkan keadaan di kampung berkenaan kini terkawal, manakala pelajar berusia 13 tahun itu disiasat atas kesalahan membunuh.

Menteri Pendidikan, Tomas Drucker bagaimanapun enggan mengulas sama ada serangan itu berpunca daripada kejadian buli.

Perdana Menteri Robert Fico menyampaikan ucapan takziah dan berkata beliau mengikuti perkembangan insiden tragis itu dengan penuh kebimbangan.

Presiden Peter Pellegrini pula berkata beliau terkejut kerana kejadian itu sekali lagi menyaksikan seorang pelajar menyerang guru dan rakan sekelas.

Beliau menggesa semua pihak membantu meredakan ketegangan dan mengelak tindakan yang boleh meningkatkan sikap radikal dalam kalangan masyarakat.

Kejadian itu merupakan serangan ganas terbaharu di sekolah Slovakia.

Pada Januari tahun lalu, seorang remaja berusia 18 tahun membunuh seorang pelajar dan seorang guru serta mencederakan seorang lagi pelajar dalam serangan pisau di sebuah sekolah menengah di Spisska Stara Ves, timur laut Slovakia.

Pada 2020, seorang guru terbunuh manakala beberapa individu lain cedera selepas diserang menggunakan pisau di sebuah sekolah rendah di Slovakia tengah. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.