
COLOMBO, 29 September – Sri Lanka mengumumkan subsidi diesel bernilai AS$126 juta bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober untuk mengekang kenaikan harga bahan api yang semakin membebankan pengguna, khususnya sektor pengangkutan awam.
- Kerajaan memulihkan subsidi diesel tetapi petrol tidak akan disubsidi, menurut jurucakap.
- IMF memberi amaran subsidi berterusan boleh mendorong negara kembali ke krisis kewangan jika kos tenaga tidak ditampung sepenuhnya.
- Kenaikan harga minyak global susulan konflik Asia Barat menjejaskan pemulihan ekonomi; inflasi meningkat kepada 8.0 peratus pada Ogos.
Jurucakap kerajaan, Nalinda Jayatissa berkata subsidi itu bertujuan memastikan kenaikan harga diesel tidak terlalu tinggi, namun petrol tidak akan menerima subsidi.
“Kami cuba memastikan kenaikan itu tidak terlalu mendadak, sekurang-kurangnya bagi diesel,” katanya kepada pemberita di Colombo.
Sri Lanka, yang bergantung pada import bahan api, telah menaikkan harga minyak sekitar 50 peratus susulan peningkatan kos tenaga global akibat konflik di Asia Barat yang tercetus pada Februari lalu.
Jayatissa berkata kerajaan telah membelanjakan AS$175 juta untuk mensubsidi diesel dan petrol dalam tempoh tiga bulan pertama selepas konflik berkenaan tercetus.
“Kami berharap perang di Asia Barat akan berakhir tidak lama lagi. Harga minyak global yang sangat tinggi amat menjejaskan kami,” katanya.
Keputusan memulihkan subsidi diesel itu dibuat meskipun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran Sri Lanka berisiko kembali berdepan krisis kewangan sekiranya kerajaan gagal memastikan kos penuh tenaga ditampung melalui jualan bahan api.
Inflasi Sri Lanka meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 38 bulan iaitu 8.0 peratus pada Ogos, susulan kenaikan harga makanan dan barangan keperluan.
Kerajaan turut memberi amaran konflik berpanjangan di Asia Barat boleh menjejaskan pemulihan ekonomi negara yang masih rapuh selepas krisis kewangan 2022, ketika Sri Lanka kehabisan rizab mata wang asing untuk membiayai import barangan penting. – AFP