
KOTA BHARU, 29 September – Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan diminta memanfaatkan sepenuhnya pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi
meningkatkan kecekapan logistik dan memperluas akses pasaran.
- Titah supaya jalan utama dinaik taraf ke pusat pembangunan transit Bandar Baru Tunjung dan pusat kargo Cherang Tuli untuk sokong pembangunan.
- Kelantan berpotensi menjadi peneraju ekonomi biru, memanfaatkan sumber pesisir, ekosistem maritim, perikanan dan logistik secara lestari.
- Rekod pelancongan: 12 juta pelawat domestik dan 650,000 pelancong menunjukkan keyakinan terhadap warisan dan produk negeri.
- Mengharapkan pengiktirafan Stong sebagai Geopark Kebangsaan dipertahankan sebelum diangkat sebagai UNESCO Global Geopark pada masa hadapan.
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah, infrastruktur itu penting dalam memperkukuh daya tarikan Kelantan sebagai destinasi pelaburan baharu yang berdaya saing.
“Harapan beta agar kerajaan Persekutuan dapat menaik taraf jalan utama, khususnya ke pusat pembangunan berasaskan transit di Bandar Baru Tunjung, Kota Bharu dan pusat pembangunan berasaskan kargo di Cherang Tuli, Pasir Puteh,” titah Baginda.
Sultan Muhammad V bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-57 di Istana
Balai Besar di sini hari ini.
Sementara itu, Sultan Kelantan turut menzahirkan rasa optimis terhadap potensi Kelantan sebagai peneraju ekonomi biru di Pantai Timur dengan memanfaatkan sumber pesisir, ekosistem maritim, perikanan dan logistik secara lestari.
Menyentuh sektor pelancongan, baginda bertitah Kelantan merekodkan 12 juta pelawat domestik dan 650,000 pelancong pada tahun lalu, sekali gus membuktikan keyakinan pelancong terhadap keunikan warisan, budaya dan produk pelancongan negeri.
Selain itu, Sultan Muhammad V turut menzahirkan harapan agar Kerajaan Persekutuan dapat mengekalkan pengiktirafan Stong Geopark sebagai Geopark Kebangsaan, sebelum diangkat sebagai UNESCO Global Geopark pada masa hadapan.
Dalam bidang pendidikan pula, baginda menzahirkan rasa sukacita terhadap cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara dan berharap Kelantan memperoleh manfaat secara langsung daripada penubuhan majlis berkenaan.