
KUALA KANGSAR, 29 September – Pelumba XDS Astana Team, Matteo Malucelli mengakui kemenangan keduanya pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 bukan mudah selepas berdepan saingan sengit pada perlumbaan Peringkat 3, hari ini.
- Vioran dan pasukannya sangat kuat, menjadikan perlumbaan sengit sehingga ke penamat.
- Malucelli, Modern Adventure dan Tudor bekerjasama mengawal perlumbaan; pecutan kadang menang kadang kalah.
- Malucelli catat masa 4 jam 31 minit 59 saat dan pernah menang Peringkat 1.
- Tudor kekal pemegang Jersi Jingga selepas tiga peringkat; Peringkat 4 ke Cameron Highlands uji pendakian.
Malucelli berkata kekuatan pelumba dan pasukan pencabar, khususnya Vioran dan pasukannya, menjadikan perlumbaan sejauh 189.7 kilometer dari Sungai Petani, Kedah ke Dataran Pavilion Kuala Kangsar itu sengit sehingga ke penamat.
“Ini kemenangan kedua daripada dua perlumbaan, tetapi ia bukan kemenangan yang mudah. Vioran sangat kuat dan pasukannya juga sangat kuat.
“Kami melakukan tugas dengan sempurna hari ini untuk mengawal perlumbaan bersama Modern Adventure dan Tudor. Dalam pecutan, kadang-kadang kita menang dan kadang-kadang kita kalah. Jika saya menang, ia sesuatu yang baik,” katanya.
Malucelli menamatkan perlumbaan dengan catatan masa empat jam 31 minit 59 saat untuk meraih kemenangan selepas turut menjuarai Peringkat 1 LTdL 2026.
Riley Pickrell dari Modern Adventure Pro Cycling menduduki tempat kedua, manakala Seppe Van Den Boer dari Tudor Pro Cycling Development Team di tempat ketiga.
Pelumba Malaysia terbaik, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil pula menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Dalam saingan keseluruhan, pelumba Tudor Pro Cycling Development Team masih mengekalkan Jersi Jingga selaku pendahulu selepas tiga peringkat.
Peringkat 4 LTdL 2026 esok membabitkan laluan sejauh 142.3 kilometer dari Bandar Meru Raya, Ipoh ke Cameron Highlands, dengan laluan pendakian dijangka menguji keupayaan pelumba.