
KUALA LUMPUR, 29 September – Ikhtisas dan kepakaran perlu disertai integriti serta keberanian menolak rasuah dan ketirisan demi kepentingan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Ikhtisas mesti berpaksikan nilai, etika dan tanggungjawab sosial, bukan hanya penguasaan teknikal.
- Profesionalisme menuntut keberanian menyatakan kebenaran serta penolakan tegas terhadap rasuah, ketirisan dan kebobrokan.
- Kepintaran mesti dipadukan dengan hikmah untuk memartabatkan negara dan menyatukan kepelbagaian kaum, agama serta wilayah.
Datuk Seri Anwar berkata, kepakaran bukan hanya tentang penguasaan dalam sesuatu bidang, tetapi perlu disertai nilai, etika dan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Lantaran itu, ikhtisas harus menemukan dirinya pada nilai. Kepakaran mesti bersanding dengan etika, kecemerlangan dengan ‘itqan fil amal’ dan profesionalisme dengan keberanian untuk menyatakan yang benar serta tegas menolak segala bentuk rasuah, ketirisan dan kebobrokan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, pengkhususan dalam sesuatu bidang tanpa kesedaran terhadap masalah masyarakat dan kemanusiaan boleh menyebabkan ilmu kehilangan makna.
Menurut Datuk Seri Anwar, perkara itu selari dengan pandangan filsuf besar Ortega y Gasset mengenai bahaya “barbarism of specialization“, iaitu keadaan apabila seseorang terlalu menguasai satu bidang sehingga tidak lagi peka terhadap masalah masyarakat dan kemanusiaan.
Perdana Menteri berkata, kekuatan Malaysia bukan hanya bergantung kepada golongan yang pintar dan berkemahiran, sebaliknya kepintaran itu perlu disertai hikmah.
“Malaysia akan terangkat apabila kepintaran itu dipadukan dengan hikmah, apabila perbezaan kaum, agama dan wilayah tidak menjadi tembok yang memisah, tetapi menjadi tiang kekuatan yang menyempurnakan wajah dan seri sesebuah bangsa,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata, Hari Ikhtisas Malaysia yang disambut pada 29 September setiap tahun perlu dimaknai lebih daripada sekadar penghargaan kepada golongan profesional.
Sebaliknya, katanya, hari berkenaan menjadi peringatan bahawa ilmu dan kepakaran bukan sekadar jalan menuju kecemerlangan, tetapi penting untuk meningkatkan martabat negara serta membina masa depan generasi akan datang.