
KUALA LUMPUR, 29 September – Kerajaan akan memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia terus menjadi keutamaan dalam usaha menangani isu pelarian Myanmar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Rundingan dengan Myanmar untuk penghantaran pulang sukarela dan berperingkat melibatkan 5,000 pelarian.
- Fasa pertama menghantar 1,476 pelarian dimulakan hari ini selepas proses disepakati bersama.
- Tindakan dilaksanakan teratur melalui penguatkuasaan, penyelarasan agensi, berlandaskan undang-undang dan prinsip kemanusiaan untuk kurangkan tekanan sosial dan keselamatan.
Beliau berkata, pendekatan itu menjadi asas kepada usaha kerajaan menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh.
Ini termasuk menerusi penguatkuasaan, penyelarasan antara agensi serta kerjasama dengan Myanmar bagi penghantaran pulang pelarian secara sukarela dan berperingkat.
“Isu pelarian Myanmar bukan permasalahan baharu, sebaliknya legasi puluhan tahun yang telah memberikan tekanan kepada negara dari sudut keselamatan, sosial dan pengurusan.
“Insya-Allah, saya akan memastikan isu ini ditangani secara tuntas, dengan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia diberi keutamaan, serta pelaksanaannya berlandaskan undang-undang dan nilai kemanusiaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata, hasil rundingan bersama Myanmar, sebanyak 5,000 pelarian akan dihantar pulang secara sukarela dan berperingkat.
Beliau berkata, seramai 1,476 pelarian memulakan fasa pertama penghantaran pulang hari ini selepas melalui proses yang dipersetujui kedua-dua negara.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk menangani isu pelarian Myanmar secara lebih tersusun, termasuk mengurangkan tekanan terhadap aspek keselamatan, sosial dan pengurusan yang dihadapi Malaysia.
Dalam masa sama, kerajaan memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur, dengan mengambil kira peruntukan undang-undang serta prinsip kemanusiaan.