Penolong pegawai perubatan maut, motosikal rempuh kereta di Batu Berendam

Keadaan di lokasi kejadian / Foto PDRM

MELAKA, 29 September – Seorang penolong pegawai perubatan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam, di sini pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa, Mohd Amirul Ikhmal Saifullizam, 32, petugas Unit Hemodialisis Hospital Melaka, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
  • Motosikal dari arah Sutera Wangi menuju Peringgit merempuh sisi kiri Proton Saga yang memasuki simpang Taman Ikhsan.
  • Pemandu dan tiga kanak-kanak mengalami kecederaan kepala; semua dibawa ke Hospital Melaka, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira 6.50 pagi itu, Mohd Amirul Ikhmal Saifullizam, 32 tahun, yang bertugas di Unit Hemodialisis Hospital Melaka, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Halim Abas berkata, ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Sutera Wangi menuju Peringgit untuk ke tempat kerja.

Beliau berkata, sebuah Proton Saga yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun pula dalam perjalanan dari arah Peringgit untuk menghantar anaknya dan seorang anak jiran ke sekolah.

“Apabila kereta berkenaan masuk ke simpang Taman Ikhsan, Batu Berendam, motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak sebelum merempuh bahagian sisi kiri kereta.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ACP Halim berkata, pemandu kereta serta tiga penumpang, masing-masing kanak-kanak lelaki berusia sembilan, 10 dan sembilan tahun, turut mengalami kecederaan di kepala.

Katanya, kesemua mereka dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan dan kini ditempatkan di Zon Hijau.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.