PGA tahan seorang lelaki, rampas 78 batang kayu tiada permit pindah

Lelaki berusia 33 tahun ditahan bersama sebuah lori dan 78 batang kayu hutan tanpa permit sah/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 30 September – Sebanyak 78 batang kayu hutan bernilai RM780 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) manakala seorang lelaki tempatan ditahan dalam Op Taring Wawasan di Kampung Hutan Pasir, Tendong, di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA merampas kayu hutan tanpa permit dalam Op Taring Wawasan di Kampung Hutan Pasir, Tendong.
  • Seorang lelaki tempatan ditahan kira-kira pukul 7.30 malam untuk siasatan lanjut.
  • Bekalan kayu diperoleh dari Kampung Slow Machang, dibawa ke Kampung Tal Tujuh, kemudian ke kilang papan Tanah Merah.
  • Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM150,780; kes disiasat di bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.30 malam.

“Pemeriksaan di bahagian muatan belakang lori menemukan 78 batang kayu hutan yang ditutupi kanvas dan dipercayai tidak mempunyai permit pemindahan yang sah daripada Jabatan Perhutanan.

“Siasatan awal mendapati bekalan kayu hutan itu diperoleh dari Kampung Slow Machang sebelum dibawa ke Kampung Tal Tujuh, Tendong dan seterusnya dihantar ke sebuah kilang papan di Tanah Merah,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah lori dianggarkan RM150,780.

Ahmad Radzi berkata, suspek bersama lori dan kayu hutan berkenaan dibawa ke Komtak Jeram Perdah sebelum diserahkan kepada Perhutanan Jajahan Tanah Merah, Kelantan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.