
TEMERLOH, 30 September – Dua lelaki ditahan selepas serbuan di sebuah premis stor di Taman Perindustrian Temerloh di sini membawa kepada rampasan minyak sawit mentah dan minyak masak terpakai bernilai lebih RM250,000, semalam.
- PGA mengesan sebuah lori mencurigakan dan mengekori sebelum menyerbu sebuah premis stor.
- Rampasan meliputi kira-kira 5,500 kg minyak sawit mentah dan 6,500 kg minyak masak terpakai, tangki, tong, pam dan sebuah lori.
- Suspek gagal mengemukakan dokumen; semua rampasan diserahkan kepada MPOB untuk tindakan dan siasatan di bawah peraturan perlesenan.
Kedua-dua lelaki berusia 26 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan perindustrian berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pasukan kemudian mengekori lori berkenaan sebelum ia memasuki sebuah premis stor di Taman Perindustrian Temerloh.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 10 tong berisi minyak sawit mentah di dalam lori, manakala pemeriksaan di kawasan stor menemukan enam tangki IBC berisi minyak sawit mentah dan tujuh tangki IBC mengandungi minyak masak terpakai.
“Turut dirampas sebuah pam penyedut bersama paip serta 13 tangki IBC dan 10 tong drum besi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan muatan lori serta barangan yang disimpan di premis berkenaan.

Menurutnya, keseluruhan rampasan membabitkan kira-kira 5,500 kilogram (kg) minyak sawit mentah dan 6,500 kg minyak masak terpakai, selain sebuah lori.
“Kesemua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Temerloh untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit bekerja sebagai pemandu lori secara sambilan sejak 2024 dengan seorang lelaki.
Katanya, mereka dipercayai mendapatkan bekalan minyak sawit mentah dan minyak masak terpakai dari kawasan FELDA serta penduduk sekitar sebelum menjualnya kepada seorang lelaki di sebuah syarikat di Johor Bahru.
Kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d) Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 serta Peraturan 51(d) kerana menyimpan minyak masak terpakai terpakai tanpa lesen.