
SEPANG, 30 September – Pengorbanan dan kerja keras luar biasa dalam menjayakan penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hanya dalam tempoh 10 minggu, wajar diabadikan dalam sebuah dokumentari khas.
- Ketua Pegawai Eksekutif SIC berharap dokumentari khas menampilkan rakaman di sebalik tabir persiapan menjelang F1 Grand Prix Bahrain.
- Pasukan media SIC dan BIC merakam semua fasa persiapan dan bersedia berkongsi bahan visual untuk produksi dokumentari.
- Penyediaan homologasi dan piawaian ketat F1 dilaksanakan dalam kira kira dua bulan berbanding tempoh biasa hingga lapan bulan.
- Perlumbaan 'one off' Malaysia-Bahrain dijangka mencipta sejarah dan menghimpunkan lebih 100,000 peminat; penghargaan kepada warga kerja SIC.
Harapan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.
Beliau berkata, setiap detik mencabar dan proses transformasi litar berkenaan dirakam dan didokumentasikan oleh pasukan media SIC dan Litar Antarabangsa Bahrain (BIC).
Menurutnya, penganjuran saat akhir perlumbaan berprestij itu menuntut komitmen luar biasa daripada seluruh tenaga kerja daripada kedua-dua negara.
Katanya, antara tugasan paling mencabar ialah mempersiapkan segala keperluan homologasi dan piawaian ketat F1 dalam tempoh dua bulan, berbanding tempoh biasa sehingga lapan bulan.
“Secara peribadi, saya berharap sebuah dokumentari khas diadakan bagi mempertontonkan di sebalik tabir mempersiapkan SIC menjelang F1 Grand Prix Bahrain.
“Saya optimis, ia akan menjadi sebuah dokumentari yang hebat. Kita juga boleh menemu bual pihak dari kedua-dua negara untuk menceritakan apa yang berlaku dalam tempoh beberapa minggu lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif BIC, Sheikh Salman bin Isa Al Khalifa berkata pihak penganjur bersedia berkongsi rakaman persiapan F1 Grand Prix Bahrain dengan mana-mana produksi penerbitan yang berminat.
“BIC dan SIC telah merakam kesemua fasa proses persiapan dari hari pertama.
“Sekiranya ada pihak yang berminat untuk menyunting bahan visual ini menjadi sebuah dokumentari, ia akan menjadi platform terbaik untuk semua orang melihat beban kerja dan keringat yang dicurahkan sepanjang tempoh singkat ini,” ujarnya.
Sheikh Salman turut menzahirkan penghargaan tinggi kepada seluruh warga kerja SIC yang bertungkus lumus dalam memastikan fasiliti litar pada tahap terbaik dalam menyambut ketibaan jentera F1 selepas sembilan tahun, kali terakhir penganjurannya di Sepang.
Penganjuran Grand Prix Bahrain di Malaysia 2026 bakal mencipta sejarah dalam kalendar sukan permotoran antarabangsa, menyaksikan Malaysia-Bahrain berganding baharu mengendalikan perlumbaan ‘one off‘ yang dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peminat di Sepang pada hujung minggu ini.