
SHAH ALAM, 30 September – Pemain boling padang wanita nombor satu dunia, Emma Firyana Saroji mengakui berdepan sedikit tekanan menjelang Kejohanan Terbuka Malaysian – The Royal Patron’s Cup 2026 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Nerus, Terengganu, bulan depan.
- Memfokus kawalan emosi dan persediaan mental untuk menyerap tekanan serta provokasi daripada lawan.
- Dalam dua hingga tiga minggu, dia akan berusaha kawal emosi dan jaga kesiapsiagaan mental.
- Pemain negara ada sedikit kelebihan kerana biasa beraksi di venue Terengganu.
- Mengingatkan rakan sepasukan agar tidak selesa kerana padang sedang dinaik taraf; kesiapsiagaan mental amat penting.
Menyedari statusnya selaku tumpuan utama, Emma menegaskan fokusnya kini terarah kepada aspek kawalan emosi serta persediaan mental bagi menyerap asakan daripada pihak lawan.
“Untuk diri sendiri, saya cuma perlu mengawal keadaan. Kita sedar semua lawan akan cuba untuk menewaskan kita dan membuktikan kemampuan mereka.
“Dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini, saya akan cuba mengawal emosi dan menjaga aspek mental kerana sedar bakal berdepan cabaran serta provokasi hebat, khususnya daripada pemain-pemain baharu,” katanya ketika ditemui selepas sidang media pengumuman kejohanan berkenaan di sini, baru-baru ini.
Mengulas mengenai persiapan di Terengganu, Emma menyifatkan pemain negara mempunyai sedikit kelebihan berikutan sudah biasa beraksi di venue tersebut.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakan sepasukan agar tidak terlalu selesa memandangkan gelanggang berkenaan sedang melalui proses penambahbaikan.
“Sebahagian besar pemain podium dan pelapis memang pernah beraksi di sana, cuma keadaannya mungkin tidak lagi sama seperti sebelum ini.
“Kerja-kerja penambahbaikan padang sedang giat dijalankan dan bagi kejohanan berprestij seperti ini, pelbagai faktor teknikal mungkin berubah. Oleh itu, kesiapsiagaan mental amat dituntut,” jelasnya.
Kejohanan Terbuka Malaysia – The Royal Patron’s Cup anjuran Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) itu akan berlangsung dari 25 hingga 31 Oktober ini.
Saingan bertaraf antarabangsa tersebut dijangka menghimpunkan lebih 250 peserta termasuk penyertaan jaguh dari luar negara.