Formula 1 : Cuaca tidak menentu cabaran utama Russell, Antonelli di Sepang

Pemandu pasukan Mercedes-AMG Petronas F1, George Russell (kiri) dan Kimi Antonelli, semasa sidang media yang dianjurkan oleh PETRONAS dan pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 di Menara Berkembar Petronas / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 September – Cuaca panas dan hujan tidak menentu dijangka menjadi cabaran utama pelumba Mercedes-AMG Petronas, George Russell dan Kimi Antonelli, pada Grand Prix (GP) Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketidakpastian cuaca dan peluang penggunaan tayar basah akan menjadi cabaran besar kerana pengalaman terhad pemandu dengan jentera moden dalam keadaan basah.
  • Permukaan asfalt Sepang sangat agresif terhadap tayar, menguji ketahanan dan strategi penggunaan tayar setiap pasukan.
  • Russell berharap pengalaman berlatih di 'PlayStation' membantu adaptasi dan persediaan ketika berlumba di litar sebenar.
  • Mercedes yakin jentera kompetitif dapat membantu Russell dan Antonelli mencabar pelumba lebih berpengalaman di Sepang.

Russell berkata, keadaan panas dan lembap sememangnya menjadi antara cabaran aksi di Sepang, namun faktor itu turut menambah keterujaan untuk berlumba di litar berkenaan.

“Selain itu, ini juga akan menjadi kali pertama kami berada di litar dengan menggunakan tayar basah. Jadi, jika keadaan itu berlaku, ia akan menjadi cabaran besar kepada semua orang kerana kami semua mempunyai pengalaman yang sangat terhad memandu dalam keadaan basah dengan jentera ini. Jadi, ia pasti menarik sekiranya keadaan itu berlaku,” katanya pada sidang akhbar bersama pasukan itu di sini, hari ini.

Russell turut teruja untuk berlumba di Sepang buat kali pertama selepas sering menggunakan litar itu dalam permainan ‘PlayStation’ ketika kecil.

Beliau berharap pengalaman tersebut dapat membantunya ketika mengharungi perlumbaan sebenar.

Antonelli pula berkata, permukaan asfalt yang agresif di SIC bakal menguji ketahanan tayar setiap pelumba F1 hujung minggu ini.

“Dari segi penggunaan tenaga, sebenarnya ia tidak terlalu membimbangkan. Tetapi dari segi tayar, ia pastinya akan menjadi cabaran besar.

Permukaan asfalt di sini sudah sangat lama dan sangat agresif terhadap tayar, jadi ia akan menarik untuk dilihat. Pastinya, ia akan menjadi cabaran yang sangat tinggi.” katanya.

Malaysia kembali menerima perlumbaan F1 selepas sembilan tahun menerusi penganjuran GP Bahrain di Sepang dari 2 hingga 4 Oktober ini.

SIC sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu dikeluarkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.

Russell menambah, pengalaman pelumba lain di Sepang tidak semestinya memberikan kelebihan besar kerana prestasi jentera turut memainkan peranan.

Beliau yakin jentera Mercedes yang kompetitif mampu membantu beliau dan Antonelli mencabar pelumba yang lebih berpengalaman di litar berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.