LTdL 2026 : Rikunov tukar strategi, juarai Peringkat 4

Pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team, Petr Rikunov menjuarai Peringkat 4 LTdL 2026 / Foto Facebook LTdL

CAMERON HIGHLANDS, 30 September – Pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team, Petr Rikunov mengubah strategi daripada memburu kedudukan keseluruhan kepada kemenangan peringkat dan percaturan itu membuahkan hasil apabila menjuarai Peringkat 4 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Petr Rikunov menjuarai Peringkat 4 selepas 142.3 km, catatan masa 3 jam 29 minit 12 saat, menewaskan Javier Ibanez dan Alan Jousseaume.
  • Kemenangan itu menamatkan kemarau podium Rikunov sejak Julai 2025 dan membolehkan beliau merampas Jersi Raja Bukit dengan 29 mata.
  • Peringkat 5 esok: Tapah ke Genting Highlands 125.7 km, pendakian Hors Class dan tiga zon pecutan di Slim River, Tanjung Malim, Batang Kali.

Pelumba Rusia berusia 29 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 142.3 kilometer dari Meru Raya ke Cameron Highlands dalam masa tiga jam 29 minit 12 saat.

Rikunov menewaskan Javier Ibanez dari Caja Rural-Seguros RGA dengan kelebihan tiga saat, manakala pelumba TotalEnergies, Alan Jousseaume di tempat ketiga, sembilan saat di belakang pemenang.

Kemenangan itu menamatkan kemarau podium Rikunov sejak beliau menjuarai Peringkat 7 Tour of Magnificent Qinghai di China pada Julai 2025.

Kejayaan itu turut membolehkan Rikunov merampas Jersi Raja Bukit (Polka Dot) selepas mengumpul 29 mata.

Jersi Jingga bagi klasifikasi keseluruhan (GC) kekal milik Lennart Jasch dari Tudor Pro Cycling Team dengan catatan keseluruhan 15 jam 46 minit 50 saat.

Dua pelumba Caja Rural-Seguros RGA, Abel Balderstone dan Jan Castellon mengekori rapat masing-masing dengan jurang 20 saat dan 38 saat di belakang pendahulu.

Bagi Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia, Yuhi Todome dari Aisan Racing Team terus mendahului dengan catatan 15 jam 51 minit 50 saat.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie berada di tempat kedua, 35 saat di belakang, manakala rakan senegara Tsen Ren Bao di tempat ketiga dengan jurang 50 saat.

Sementara itu, Matteo Malucelli dari XDS Astana Team kekal menguasai Jersi Raja Pecut dengan 32 mata, mengatasi Riley Pickrell yang mengumpul 24 mata.

LTdL 2026 diteruskan esok dengan Peringkat 5, membabitkan laluan ‘mercu tanda’ dari Tapah ke Genting Highlands sejauh 125.7 kilometer.

Peringkat itu dijangka menjadi ujian besar kepada pelumba menerusi pendakian bertaraf Hors Class di Genting Highlands, selain tiga zon pecutan di Slim River, Tanjung Malim dan Batang Kali.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.