
SHIZUOKA, 30 September – Pelumba berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen Malaysia dalam acara keirin wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
- Pelumba China Yuan Liying dan Wang Lijuan meraih emas serta perak dalam keirin wanita.
- Nur Alyssa Mohd Farid menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
- Pingat tersebut menamatkan kemarau Malaysia dalam keirin wanita, menyamai pencapaian Fatehah Mustapa Incheon 2014.
- Dalam acara pecut lelaki, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mara ke suku akhir; Muhammad Shah Firdaus tersingkir pada repechage kedua.
Pada aksi final di Velodrom Izu, pelumba berusia 23 tahun itu menampilkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Pelumba China, Yuan Liying dan Wang Lijuan masing-masing meraih emas dan perak, manakala seorang lagi pelumba negara, Nur Alyssa Mohd Farid menduduki tempat kelima.
Pingat itu menamatkan kemarau Malaysia dalam acara keirin wanita di Sukan Asia, selain menyamai pencapaian Fatehah Mustapa yang meraih pingat perak pada edisi Incheon 2014.
Terdahulu, Nur Alyssa memenangi saringan separuh akhir manakala Nurul Izzah menduduki tempat kedua dalam saringan masing-masing untuk mara ke final.
Kedua-dua pelumba negara turut cemerlang pada pusingan pertama apabila Nurul Izzah memenangi saringannya, manakala Nur Alyssa menduduki tempat kedua.
Dalam acara pecut individu lelaki, jaguh negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menepati ramalan apabila mara ke suku akhir yang dijadual berlangsung esok.
Namun, nasib berbeza bagi seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, apabila terkandas pada pusingan repechage kedua selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.