
JOHOR BAHRU, 30 September – Seramai 15 lelaki termasuk lima warga China mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan menawarkan pekerjaan dalam talian yang tidak wujud kepada mangsa luar negara, pada September lalu.
- Sembilan tertuduh didenda RM3,500 setiap seorang atau dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
- Enam tertuduh didenda RM4,200 setiap seorang atau dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
- Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(2) dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh berusia antara 21 hingga 40 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.
Sembilan tertuduh masing-masing didenda RM3,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Mereka ialah Gan Kai Lin, Myles Tan Yi, Chuah Kian Wei, Liew Ming Hui, Gan Wei Xiang, Tan Hong Wei, Eldrick Tan Chin Lim, Chong Yong Xuan dan Dennis Chong Wen Wei.
Sementara itu, enam lagi tertuduh iaitu Li Xing, Sun Qixin, Yau Chin Lin, Dong Ningning, Wang Mengnan dan Chen Haihui didenda RM4,200 setiap seorang atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Prosiding di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab itu dijalankan dalam Bahasa Mandarin ketika pertuduhan dibacakan.
Mereka melakukan kesalahan itu di dua unit rumah berasingan di East Ledang, Nusajaya kira-kira pukul 5.30 petang dan 2.40 petang pada 25 September lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqilah Aliman dan Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal.
Sembilan tertuduh diwakili peguam Gan Chee Sheng, manakala enam lagi diwakili peguam Chuah Shyue Chien.