
IPOH, 30 September – Seorang lelaki tempatan cedera ditembak ketika berada di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, di sini, semalam.
- Mangsa, 41 tahun, cedera di bahu kiri akibat satu das tembakan.
- Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.08 petang; suspek datang dari arah Pekan Bidor dan berhenti di hadapan mangsa.
- Dua lelaki keluar dari kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri.
- Pasukan forensik menemui satu peluru 9mm Luger dan empat kelongsong; kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Akta Senjata Api.
Mangsa, 41 tahun cedera terkena satu das tembakan di bahu kiri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.08 petang ketika mangsa tiba di stesen minyak berkenaan dengan menaiki sebuah kenderaan untuk mengisi minyak.
“Hasil siasatan mendapati sebuah lagi kenderaan datang dari arah Pekan Bidor sebelum berhenti di hadapan kenderaan mangsa.
“Dua lelaki kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata dikejarkan ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Katanya, pemeriksaan pasukan forensik di lokasi kejadian menemukan satu peluru 9mm Luger dan empat kelongsong peluru jenis sama.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Berat) 1971.