
KUALA LUMPUR, 30 September – Pemancing terakhir daripada tujuh mangsa yang dilaporkan hilang di One Fathom Bank, berhampiran Pulau Ketam sejak 14 September lalu, ditemukan meninggal dunia di perairan Kuala Kurau, Perak, semalam.
- Mayat dibawa ke Jeti Polis Marin dan diserahkan kepada polis untuk proses pengecaman di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping.
- Identiti mangsa dikenal pasti oleh isteri berdasarkan pakaian terakhir, dan penemuan itu melengkapkan usaha pencarian bagi semua tujuh mangsa.
- Operasi SAR melibatkan sektor laut dan udara meliputi 3,887 batu nautika persegi, dengan APMM menghargai bantuan agensi dan komuniti nelayan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mayat Raja Mohd Rozi Raja Mohamud, 49, ditemukan terapung oleh nelayan tempatan kira-kira 4.5 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau pada 5.25 petang semalam.
Menurutnya, nelayan berkenaan kemudian menghubungi Zon Maritim Kuala Kurau selepas menemukan mangsa yang memakai baju biru dan seluar celoreng.
“Bot Maritim Benteng 03 kemudian digerakkan ke lokasi dan mayat dibawa ke Jeti Polis Marin Kuala Kurau pada 7.30 malam.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping bagi proses pengecaman rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata identiti Raja Mohd Rozi bagaimanapun telah dikenal pasti oleh isterinya berdasarkan pakaian terakhir yang dipakai mangsa ketika kejadian.
“Penemuan mangsa terakhir ini melengkapkan usaha pencarian terhadap semua tujuh mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
“APMM menghargai semua pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi dan komuniti nelayan tempatan atas bantuan serta maklumat yang disalurkan sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.
Pada 19 September lalu, operasi SAR yang berlangsung selama enam hari ditamatkan selepas tiada sebarang petunjuk atau penemuan baharu dikesan.
Operasi pencarian melibatkan sektor laut dan udara dengan liputan seluas 3,887 batu nautika persegi di perairan Selangor dan Perak, termasuk Hutan Melintang serta Bagan Datuk.
Pada 14 September lalu, Maritim Malaysia Selangor melancarkan operasi SAR selepas menerima laporan rasmi mengenai kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank pada 3.35 pagi.
Empat mangsa ditemukan selamat, manakala dua lagi, Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Mohamad Shahril Abd Rahman, 43, ditemukan meninggal dunia di perairan Hutan Melintang.