
KUALA KANGSAR, 15 November – Pembesar yang mendampingi takhta wajib menyampaikan nasihat yang benar walaupun pahit serta memastikan suara dan rintihan rakyat sampai kepada pengetahuan Raja.
- Pembesar mesti menjunjung integriti, berkhidmat dengan ikhlas dan mengetepikan kepentingan diri.
- Semangat Keris Taming Sari ialah keberanian menegakkan keadilan, menyuarakan kebenaran, menolak rasuah dan membela yang teraniaya.
- Keberanian juga bermakna menerima teguran, mengakui kelemahan dan melakukan pembaharuan demi kepentingan rakyat.
- Pedang Cura Si Manja mengingatkan pemegang kuasa supaya berlaku adil dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kedudukan yang dikurniakan kepada pembesar dan pemegang jawatan menuntut keluhuran budi, keikhlasan berkhidmat serta kesediaan mengetepikan kepentingan diri.
“Para pembesar yang mendampingi takhta wajib menjunjung integriti, menyembahkan nasihat yang benar betapa pahit sekalipun dan memastikan suara serta rintihan rakyat sampai kepada pengetahuan Raja, agar Raja Pemerintah tidak leka diulit mimpi indah tetapi palsu,” titah baginda hari ini.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-70 di Istana Iskandariah.
Baginda turut bertitah, semangat Keris Taming Sari boleh diterjemahkan melalui keberanian menegakkan keadilan, menyuarakan kebenaran, menolak rasuah dan membela mereka yang teraniaya.
“Keberanian turut bererti kesediaan menerima teguran, mengakui kelemahan serta melakukan pembaharuan demi kepentingan rakyat,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, Pedang Cura Si Manja Kini pula mengingatkan pemegang kuasa supaya berlaku adil dan mengambil kira kesejahteraan rakyat dalam setiap keputusan.
Daripada 218 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Perak tahun ini, 25 menerima pengurniaan pada sesi pertama hari ini, manakala 193 lagi akan menerimanya pada sesi kedua.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainuddin, mendahului senarai penerima apabila dikurniakan Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak yang membawa gelaran Dato’ Seri.
Terdahulu, baginda berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen dari Kem Sangro, Taiping.
Kawalan kehormatan itu diketuai Mejar Mohd Izuan Mohamed dan diiringi Brass Band KD Pelanduk TLDM.