Krisis Myanmar dan LCS jadi tumpuan Sidang Kemuncak ASEAN

Datuk Seri Anwar hadir bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah / Foto AFP

MANILA, 15 November – Krisis Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan menjadi antara agenda utama Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang membuka tirainya, di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus sidang pada memperkukuh kerjasama dan mencapai kesepakatan menangani cabaran keselamatan serta kestabilan rantau.
  • Pembukaan menampilkan pelancaran logo dan bendera ASEAN yang dikemas kini serta penyampaian Anugerah ASEAN.
  • Perbincangan menerusi sesi pleno dan permukiman termasuk menilai Konsensus Lima Perkara dan membahas pusat maritim serta kod tatalaku.

Pertemuan pemimpin serantau itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dan mencapai kesepakatan dalam menangani cabaran keselamatan serta kestabilan rantau Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia pada majlis pembukaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ketibaan mereka disambut Presiden Filipina merangkap Pengerusi ASEAN, Ferdinand R. Marcos Jr., sebelum para pemimpin dibawa menaiki kenderaan elektrik keluaran tempatan menuju ke dewan utama.

Majlis pembukaan turut menyaksikan pelancaran logo dan bendera ASEAN yang dikemas kini serta penyampaian Anugerah ASEAN.

Sejurus selepas itu, para pemimpin meneruskan perbincangan menerusi sesi pleno dan permukiman, termasuk menilai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara bagi menangani krisis Myanmar.

Perhatian turut diberikan kepada cadangan penubuhan Pusat Maritim ASEAN dan perkembangan rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan, selain isu jerebu rentas sempadan serta konflik berterusan di Asia Barat.

Dalam rangka sidang kemuncak itu, Datuk Seri Anwar turut dijadual menyertai pertemuan bersama wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan wakil belia serantau.

Beliau juga dijadual menerima kunjungan hormat Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Masato Kanda, hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.