Jentayu FC pertahan kejuaraan Liga Bola Sepak Langkawi

Foto RTM

LANGKAWI, 15 November – Jentayu FC berjaya mempertahan kejuaraan Liga Bola Sepak Langkawi selepas menewaskan Kisap FC menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Langkawi, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan terikat 3-3 selepas tamat masa tambahan, memaksa penentuan sepakan penalti.
  • Penjaga gol Nur Amirul Amin menyelamatkan dua sepakan penalti, menjadi wira pasukan.
  • Jaringan: Mohammad Al Hafiz (m45), Muhamad Faiz (m50), Deehban Sangar (m63); kedua pasukan tambah satu gol masa tambahan.
  • Hadiah: juara menerima RM10,000 dan piala; naib juara menerima RM7,000 dan piala.

Perlawanan sengit itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga tamat masa tambahan.

Penjaga gol Jentayu FC, Nur Amirul Amin muncul wira pasukan apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti Kisap FC, sekali gus memastikan kejuaraan terus menjadi milik penyandang juara.

Terdahulu, Jentayu FC membuka jaringan menerusi Mohammad Al Hafiz Harun pada minit ke-45 untuk mendahului 1-0 pada babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, pasukan itu menggandakan kelebihan menerusi Muhamad Faiz Amer Runnizar pada minit ke-50.

Bagaimanapun, Kisap FC bangkit merapatkan jurang tiga minit kemudian sebelum Deehban Sangar menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-63.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat masa permainan sebenar, sebelum kedua-dua pasukan masing-masing menambah satu gol dalam masa tambahan untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Selaku juara, Jentayu FC membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala, manakala Kisap FC menerima RM7,000 dan piala sebagai naib juara.

Pada edisi lalu, Jentayu FC merangkul kejuaraan selepas menewaskan Ayer Hangat FC dengan keputusan 4-1.

Liga Bola Sepak Langkawi yang mula dianjurkan pada 1999 merupakan antara inisiatif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi mengeratkan hubungan komuniti menerusi sukan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.