
KUALA LUMPUR, 15 November – Ketua jurulatih sementara Harimau Malaya Tan Cheng Hoe kecewa selepas pasukannya tewas 0-2 kepada China dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, malam tadi.
- China menjaringkan dua gol awal dalam 10 minit, menyukarkan Malaysia untuk bangkit.
- Malaysia menguasai separuh masa kedua tetapi gagal menghasilkan jaringan; gol Fergus Tierney dibatalkan selepas semakan VAR.
- Kekecohan tercetus pada minit ke-44 selepas Dominic Tan menyepak bola ke arah Alex Yang, sebelum keadaan dikawal.
Cheng Hoe berkata dua gol awal China menyukarkan Malaysia untuk bangkit dan memaksa barisan kejurulatihan untuk mengubah pendekatan permainan.
Beliau berkata pasukan negara beraksi dengan lebih baik pada separuh masa kedua dengan menguasai bola dan mencipta lebih banyak peluang, namun gagal untuk menghasilkan jaringan.
“Sebagai jurulatih, saya kecewa dengan keputusan ini. Dua gol awal menyukarkan kami untuk mengubah keadaan. Kami bermain dengan lebih baik pada separuh masa kedua, menguasai bola dengan bagus dan mencipta lebih banyak peluang.
“Tetapi, dalam bola sepak, apabila anda ketinggalan dua gol seawal itu, banyak perubahan perlu dilakukan. Bagaimanapun, perlawanan ini memberikan pengalaman berharga kepada pemain, terutamannya pemain muda, sebagai persediaan menghadapi perlawanan menentang Yemen (17 Nov),” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.
China, yang berada pada kedudukan ke-96 dunia, menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit pada awal perlawanan dengan Wang Yudong membuka jaringan pada minit ke-10 sebelum kapten Zhang Yuning menambah gol kedua sembilan minit kemudian.
Walaupun tanpa beberapa pemain utama, Malaysia dilihat berpeluang merapatkan jurang pada minit ke-77 apabila Fergus Tierney melepaskan rembatan kencang, selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan China, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesan kekasaran dalam gerakan serangan.
Tierney kemudian dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.
Terdahulu, perlawanan itu menjadi tegang akibat kekecohan pada minit ke-44 apabila pertahanan negara Dominic Tan menyepak bola ke arah Alex Yang yang terjatuh selepas bertembung dengan Daniel Ting.
Kejadian itu mencetuskan kekecohan apabila beberapa pemain dan pegawai China dari bangku simpanan memasuki padang, sebelum keadaan berjaya dikawal sehingga tamat separuh masa.
Mengulas tentang kejadian itu, Cheng Hoe berkata aksi berintensiti tinggi sememangnya sebahagian daripada permainan.
Beliau berkata Malaysia terlalu menghormati China pada separuh masa pertama dan pemain perlu mengawal emosi mereka bagi memastikan tumpuan tidak terjejas.
Malaysia, yang kini berada di kedudukan ke-133 dunia, akan bertemu dengan Yemen yang menduduki ranking ke-144 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 kedua di venue yang sama pada Selasa ini. – BERNAMA