
KLUANG, 15 November -Keputusan untuk membubarkan Parlimen terletak di bawah kuasa prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak seharusnya dipengaruhi tekanan mana-mana pihak, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
- Keputusan membubarkan Parlimen adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri dan tidak sepatutnya dipengaruhi tekanan pihak luar.
- Selagi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat, tiada keperluan tunduk kepada tuntutan pembubaran awal.
- DAP menyarankan Perdana Menteri menggunakan tempoh setahun untuk melaksanakan agenda reformasi yang dirancang.
- Fokus reformasi termasuk pindaan Perlembagaan, rang undang-undang baharu untuk memperkukuh tadbir urus, pengurusan kewangan dan pembanterasan rasuah.
Beliau berkata, selagi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tiada keperluan untuk tunduk kepada desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal.
“Sudah tentu kita tahu bahawa akan ada tekanan yang cuba dibawa untuk membubarkan Parlimen kepada Perdana Menteri.
“Tetapi saya kata, pertama, kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen adalah di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Selagi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tidak ada sebab perlu tunduk kepada mana-mana tekanan”, katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Johor di sini, hari ini.
Jelasnya, DAP berpendirian bahawa Perdana Menteri wajar memanfaatkan tempoh setahun itu untuk melaksanakan agenda reformasi.
“ini termasuk agenda reformasi perundangan yang dirancangkan dan telah berada dalam proses terakhir. Selain, beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan Rang Undang-Undang yang baharu untuk memperkukuh tatakelola, pengurusan kewangan negara serta memastikan agenda membanteras rasuah dapat diperkukuhkan”, katanya.