Teknologi pintar pantau keselamatan warga emas tinggal di Razak Mansion

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 15 November –Warga emas yang tinggal bersendirian di Razak Mansion bakal mendapat manfaat daripada sistem pemantauan keselamatan menerusi penggunaan teknologi pintar yang akan dilaksanakan di 25 hingga 50 kediaman di kawasan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem IoT mengesan kecemasan seperti terjatuh, pergerakan luar biasa atau tiada pergerakan, membolehkan tindakan segera.
  • Notifikasi dihantar automatik ke telefon penjaga dan pihak pengurusan untuk membolehkan susulan dan bantuan segera.
  • Privasi diberi keutamaan dengan pengesan haba badan tanpa penggunaan kamera menjaga maruah dan kebebasan warga emas.
  • Projek rintis oleh Kementerian Komunikasi melalui MCMC bersama JWP memanfaatkan rangkaian 5G bagi penghantaran maklumat lebih pantas.

Sistem berasaskan teknologi Internet Benda (IoT) itu berupaya mengesan situasi kecemasan, termasuk kejadian terjatuh, pergerakan luar biasa atau tiada pergerakan dalam tempoh tertentu.

Kementerian Komunikasi menerusi kenyataan memaklumkan notifikasi akan dihantar secara automatik ke telefon bimbit penjaga dan pihak pengurusan bangunan sekiranya berlaku kecemasan.

Langkah itu sekali gus membolehkan bantuan diberikan dengan segera.

“Aspek privasi dan keselamatan penghuni turut diberikan keutamaan dalam pelaksanaan sistem ini. Teknologi pengesanan kehadiran dan pergerakan penghuni menggunakan pengesan haba badan tanpa penggunaan kamera dapat memastikan keselamatan dipantau dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan privasi, maruah dan kebebasan peribadi warga emas.

“Apabila berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini atau situasi kecemasan, pengesan pintar akan menghantar notifikasi secara automatik ke telefon bimbit penjaga serta pihak pengurusan bangunan bagi membolehkan tindakan susulan dan bantuan diambil dengan segera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Inisiatif menerusi Projek Rintis Sistem Keselamatan untuk Warga Emas yang Tinggal Bersendirian itu dilaksanakan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Pelaksanaan sistem berkenaan juga berpotensi memanfaatkan kesalinghubungan rangkaian 5G bagi menyokong penghantaran maklumat dan notifikasi dengan lebih pantas serta cekap.

Tambah kenyataan itu, inisiatif itu bukan sahaja memperkenalkan teknlogi pintar di kawasan perumahan, malah membawa pendekatan baharu dalam menjaga kebajikan warga emas dengan selesa dan bermaruah.

Kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memanfaatkan teknologi digital demi kesejahteraan rakyat serta membangunkan komuniti bandar yang lebih pintar, inklusif dan prihatin terhadap keperluan golongan rentan

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.