Filipina, Australia meterai perjanjian perkukuh kerjasama pertahanan

Foto AFP

MANILA, 15 November – Filipina dan Australia memeterai perjanjian kerjasama pertahanan baharu bagi mempercepat penyelarasan ketenteraan serta memperkukuh keupayaan keselamatan kedua-dua negara, khususnya di kawasan maritim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mekanisme kerjasama kurangkan prosedur birokrasi, memudahkan pelaksanaan operasi dan bantuan kecemasan.
  • Proses kelulusan bantuan bencana dipermudah, membolehkan Australia menyalurkan bantuan dengan lebih cepat.
  • Kerjasama tingkatkan keupayaan pencegahan terhadap ancaman semasa ketegangan Laut China Selatan, termasuk perkongsian maklumat dan latihan ketenteraan.

Perjanjian itu mewujudkan mekanisme kerjasama lebih tersusun dengan mengurangkan prosedur birokrasi, sekali gus memudahkan pelaksanaan operasi dan bantuan ketika menghadapi kecemasan.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro berkata, penyelarasan lebih cekap itu penting bagi membolehkan kedua-dua negara bertindak dengan pantas tanpa melalui proses pentadbiran yang rumit.

“Perjanjian ini akan menjadikan segala urusan jauh lebih pantas dan mudah. Jika sebelum ini sesuatu urusan memerlukan 100 langkah, kini ia hanya memerlukan 10 langkah.

“Ia juga akan menjadi lebih terarah dan bukannya dilaksanakan secara ad hoc. Sememangnya, ini merupakan langkah mengurangkan kerenah birokrasi dalam pelaksanaan Perjanjian Status Pasukan Pelawat kami,” katanya.

Majlis pemeteraian yang berlangsung di sebuah pelabuhan di Manila itu turut disaksikan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

Teodoro menjelaskan, manfaat perjanjian berkenaan amat ketara dalam operasi bantuan bencana kerana proses mendapatkan kelulusan bagi membolehkan Australia menyalurkan bantuan dapat dipermudah.

Dalam konteks keselamatan serantau, kerjasama itu juga dijangka memperkukuh keupayaan pertahanan Filipina ketika negara berkenaan berdepan ketegangan berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Teodoro menegaskan Filipina akan terus mempertahankan hak maritimnya, dengan perjanjian itu dilihat mampu meningkatkan keupayaan pencegahan terhadap ancaman di kawasan bawah bidang kuasanya.

Kerjasama tersebut turut mencerminkan hubungan pertahanan yang semakin erat antara Manila dan Canberra, termasuk dalam aspek keselamatan maritim, perkongsian maklumat serta latihan ketenteraan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.