
BANGI, 11 Mei – Seramai 246 warga kerja TEKUN Nasional diraikan dalam Majlis Apresiasi TEKUN Nasional 2026 sebagai penghargaan atas dedikasi, komitmen dan kecemerlangan mereka dalam perkhidmatan.
- Pengiktirafan ini dijangka menyuntik semangat warga TEKUN untuk terus berkhidmat melebihi jangkaan dan memperkasakan penyaluran pembiayaan.
- Kementerian merancang menyalurkan RM15 bilion melalui agensi KUSKOP bagi memberi manfaat kepada 400,000 usahawan dan koperasi seluruh negara.
- Sejak Januari hingga April 2026 TEKUN telah menyalurkan kira-kira RM360 juta kepada hampir 20,000 usahawan PMKS, dan perlu mempergiat sokongan.
Sebanyak lima kategori anugerah disampaikan pada majlis tersebut iaitu Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Khidmat Setia, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Kecemerlangan TEKUN dan Anugerah Pencapaian Tahun 2025.
Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi (KUSKOP), Steven Sim berkata, pengiktirafan ini diharap dapat menyuntik semangat warga kerja TEKUN untuk terus memberikan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan demi kesejahteraan komuniti usahawan.
“Saya berharap agar pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta memperkasakan penyaluran pembiayaan kepada kumpulan sasar,” katanya pada Majlis Apreasiasi Tekun Nasional 2026 di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa sebanyak RM15 bilion dana akan disalurkan melalui agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada tahun ini, dengan sasaran memberi manfaat kepada 400,000 usahawan dan koperasi di seluruh negara.
“Sejak 1 Januari hingga 30 April 2026, TEKUN Nasional telah menyalurkan kira-kira RM360 juta kepada hampir 20,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
Tambah beliau, TEKUN Nasional perlu terus mempergiat usaha dalam membantu lebih ramai usahawan meningkatkan daya saing dan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan warga kerja, malah memperkukuh kerjasama serta memberi inspirasi kepada semua pihak untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekosistem keusahawanan negara.