
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Golongan muda berusia 18 hingga 30 tahun berpeluang mendapatkan akses percuma kepada ILMUchat Pro selama tiga bulan menerusi inisiatif AI Untuk Rakyat, sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-69.
- Sasaran penyertaan 100,000 rakyat Malaysia dan penjimatan RM50 sebulan.
- Kelayakan disahkan melalui MyDigital ID untuk pengaktifan langganan secara selamat dan lancar.
- ILMUchat Pro menyokong bahasa Malaysia, Inggeris, Cina serta Manglish untuk komunikasi dan kerja.
- Kegunaan termasuk e-mel, mencari perkhidmatan tempatan, menghasilkan grafik, slaid, dan prototaip tanpa pengkodan.
Menurut YTL AI Labs, program berkenaan menyasarkan penyertaan 100,000 rakyat Malaysia, yang masing-masing berpeluang menikmati penjimatan RM50 sebulan, bersamaan kadar langganan biasa ILMUchat Pro.
“Peserta yang melengkapkan latihan ditetapkan dan memilih ILMUchat akan menerima akses penggunaan tanpa had kepada ILMUchat Pro selama tiga bulan.
“Kelayakan peserta akan disahkan menerusi MyDigital ID, iaitu identiti digital kebangsaan Malaysia, bagi membolehkan proses pengaktifan langganan dilaksanakan secara selamat dan lancar.
“ILMUchat Pro pula menawarkan pembantu AI yang direka untuk menyokong cara rakyat Malaysia berkomunikasi dan bekerja, termasuk penggunaan bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa Cina serta “Manglish”,” menurut kenyataan itu.
Menurut syarikat berkenaan, antara kegunaan ILMUchat Pro termasuk membantu menyediakan e-mel dan surat, mencari perkhidmatan serta perniagaan tempatan, menghasilkan poster dan grafik, menyediakan slaid pembentangan, selain membina prototaip aplikasi tanpa memerlukan kemahiran pengekodan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata, had penggunaan yang lebih tinggi menerusi versi pro membolehkan pengguna memanfaatkan teknologi AI dengan lebih meluas.
Menurutnya, ia termasuk mendapatkan maklumat berkaitan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), permohonan geran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta permohonan pekerjaan.
“Kami berharap dapat memperkasakan generasi ini bukan sahaja untuk menggunakan AI, malah menjadi pembangun dan penyumbang yang mencorakkan masa depan AI Malaysia,” katanya dalam kenyataan sama.
Untuk mendapatkan tawaran itu, rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun perlu log masuk ke platform Rakyat Digital, melengkapkan kursus yang ditetapkan dan memilih ILMUchat Pro menerusi papan pemuka masing-masing.
Peserta kemudiannya akan diarahkan ke halaman log masuk ILMUchat dan perlu menggunakan MyDigital ID untuk mengaktifkan akses percuma selama tiga bulan.