
KUALA LUMPUR, 27 September – Inisiatif perlindungan perubatan MediAsas direka dengan mekanisme kawalan kos bagi memastikan perlindungan kekal mampu milik dan mampan dalam jangka panjang, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
- MediAsas menyeragamkan manfaat dan proses utama seperti penetapan harga, penilaian kelayakan dan tuntutan untuk meningkatkan ketelusan kepada pengguna.
- Teras: had tahunan RM100,000 (bawah 60) dan RM150,000 (60 ke atas); Fleksi: RM300,000.
- Dilengkapi langkah sokongan seperti ketelusan harga, pengukuhan sistem kesihatan digital, penambahbaikan pembayaran dan pelaksanaan berperingkat DRG.
BNM berkata mekanisme itu dilaksanakan menerusi reka bentuk manfaat yang lebih seragam, had perlindungan tahunan serta perkongsian sebahagian kos rawatan antara pemegang polisi dengan syarikat insurans atau pengendali takaful.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan perlindungan perubatan asas kekal mampu milik dan mampan dalam jangka panjang,” menurut BNM dalam kenyataan.
Menurut BNM, MediAsas turut menyeragamkan manfaat dan beberapa proses utama termasuk kaedah penetapan harga, penilaian kelayakan insurans serta proses tuntutan bagi meningkatkan ketelusan kepada pengguna.
MediAsas ditawarkan menerusi dua pilihan pelan, iaitu Teras dan Fleksi, dengan had perlindungan berbeza mengikut keperluan pengguna.
Bagi MediAsas Teras, had perlindungan tahunan ditetapkan pada RM100,000 bagi individu berusia bawah 60 tahun dan RM150,000 bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas, manakala MediAsas Fleksi menawarkan had tahunan RM300,000.
BNM berkata pendekatan itu turut disokong langkah lebih menyeluruh untuk meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh sistem kesihatan digital serta menambah baik kaedah pembayaran kepada penyedia perkhidmatan kesihatan.
Ini termasuk pelaksanaan Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) secara berperingkat bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan.
“Langkah-langkah ini penting bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan, di samping memperkukuh kemampanan sistem penjagaan kesihatan,” menurut BNM.
MediAsas merupakan komponen utama Strategi RESET, iaitu inisiatif kerjasama nasional yang diterajui Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan BNM bersama pihak berkepentingan utama bagi menangani inflasi perubatan serta memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.