
RANTAU PANJANG, 26 September – Pengumuman cadangan pemanjangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang menyemarakkan keterujaan penduduk tempatan yang menyifatkan projek mega berkenaan sebagai ‘game-changer’ dalam menghidupkan semula aktiviti ekonomi komuniti.
- ECRL bakal merancakkan industri hiliran melalui sistem pengangkutan dan logistik yang lebih cekap.
- Sambungan rel dianggap titik tolak untuk meningkatkan taraf hidup dan membuka peluang pekerjaan serta perniagaan.
- Projek diharap menyelesaikan isu logistik sempadan dan memperkukuh hubungan pengangkutan terus dengan negara jiran.
- Fasiliti dan prasarana baharu dijangka melonjakkan sektor pelancongan serta menarik kembali tumpuan pengunjung.
ECRL bukan sahaja membuka lebih banyak peluang perniagaan, malah bakal merancakkan industri hiliran menerusi sistem pengangkutan dan logistik yang lebih cekap.
Rata-rata peniaga dan penduduk setempat meluahkan rasa syukur dan menganggap sambungan rel berkenaan sebagai titik tolak penting kepada peningkatan taraf hidup masyarakat tempatan.
Peniaga makanan, Ramli Abdullah berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana ia bakal memberi limpahan manfaat yang besar dari segi peluasan peluang pekerjaan dan pergerakan pelancong.
Turut mengakuinya, seorang lagi peniaga makanan, Mohd Bakri Harun yang menyifatkan isu logistik di kawasan sempadan akan dapat ditangani di samping pada masa sama mampu melonjakkan potensi ekonomi tempatan.
“Kita di sempadan ini memang agak terhad dari segi pengangkutan. Jadi dengan adanya kemudahan ECRL ini, saya rasa taraf hidup rakyat di sini bakal berubah,” katanya.
Bagi penduduk tempatan, Saiful Bahri Ibrahim menganggap pengumuman itu sebagai satu berita gembira yang membuktikan pembangunan negara tidak lagi mengetepikan kawasan sempadan.
“Saya rasa ini satu titik tolak terbaik, Alhamdulillah kita sangat bersyukur maknanya pembangunan ECRL ini sampai bukan sahaja ke peringkat negeri Kelantan, malah terus ke Rantau Panjang,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Surani Daud berkata, fasiliti berkenaan diyakini mampu melonjakkan sektor pelancongan menerusi penambahbaikan prasarana dan daya tarikan jualan tempatan yang berupaya menjadikan Rantau Panjang kembali sebagai tumpuan utama pelancong.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerjanya ke China baru-baru ini memaklumkan, Malaysia dan China bersetuju dengan cadangan menyambung ECRL ke Rantau Panjang, yang berpotensi membuka hubungan pengangkutan terus dengan negara jiran.
Menurut beliau, langkah itu berupaya merancakkan ekonomi kawasan pedalaman Kelantan selain memperkukuh hubungan pengangkutan rentas sempadan.