
LONDON, 27 September – Juara dunia Sepanyol bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan England 3-2 dalam aksi Liga Negara Eropah di Wembley, Sabtu, sekali gus melanjutkan rekod tanpa kalah kepada 39 perlawanan.
- Lamine Yamal membuka jaringan awal selepas kesilapan pertahanan Marc Guehi.
- Anthony Gordon menyamakan kedudukan, diikuti Harry Kane menghantar England kembali di depan dengan tandukan.
- Kane gagal menyempurnakan sepakan penalti awal babak kedua selepas VAR mengesahkan kekasaran Rodri.
- Alex Baena menyamakan kedudukan dan menyumbang hantaran kepada Mikel Oyarzabal sebelum De la Fuente puji kawalan permainan.
Pada perlawanan berkenaan, England bermula buruk apabila Lamine Yamal mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan Marc Guehi pada minit kedua bagi membolehkan Sepanyol berada di depan.
Sepanyol terus menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang, tetapi England bangkit sebelum menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi Anthony Gordon.
Pemain sayap Barcelona itu menyudahkan gerakan serangan menarik England selepas menerima hantaran Jude Bellingham.
Empat minit kemudian, England kembali di depan apabila kapten Harry Kane menanduk masuk hantaran Nico O’Reilly.
England berpeluang melebarkan kelebihan pada awal babak kedua selepas diberikan sepakan penalti susulan kekasaran Rodri terhadap Bellingham selepas semakan VAR.
Bagaimanapun, Kane gagal menyempurnakan peluang itu apabila sepakannya terkena palang.
Sepanyol kemudian menghukum kegagalan berkenaan apabila pemain gantian Alex Baena menyamakan kedudukan pada minit ke-60 selepas O’Reilly kehilangan bola kepada Dani Olmo.
Pasukan kendalian Luis de la Fuente itu melengkapkan kebangkitan beberapa minit kemudian apabila Baena bertindak melorongkan hantaran buat Mikel Oyarzabal yang menewaskan penjaga gol England, James Trafford, dengan lambungan kemas.
Kemenangan itu mengulangi kejayaan Sepanyol ke atas England selepas menewaskan pasukan berkenaan pada perlawanan akhir Euro 2024.
De la Fuente berkata pasukannya mengawal sebahagian besar permainan ketika berdepan England yang disifatkannya sebagai sebuah pasukan bertaraf “kuasa besar”.
“Kami masih mahu berkembang dan terus memperbaiki permainan. Itulah yang penting,” katanya.
Sementara itu, Kane mengakui England gagal mengekalkan tahap permainan terbaik mereka sepanjang 90 minit.
“Saya sudah bercakap sebelum ini bahawa kami mencapai tahap yang baik di Piala Dunia tetapi gagal bermain pada tahap itu sepanjang 90 minit. Mungkin perkara sama berlaku hari ini,” katanya.
Sepanyol akan menerima kunjungan Croatia dalam aksi Liga Negara Eropah Kumpulan A3 pada Selasa, manakala England bertandang ke Republik Czech. – AFP.