
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Pelaburan kecerdasan buatan (AI) Malaysia dijangka tidak lagi terhad kepada pusat data, dengan tumpuannya semakin beralih kepada peralatan semikonduktor, automasi, dan pembutan termaju, sekali gus menjadi pemacu pertumbuhan seterusnya.
- Pulau Pinang menyumbang 48.9% daripada eksport Malaysia pada Jun 2026, jauh mengatasi Johor (17.6%).
- Sektor elektrik dan elektronik terus menjadi tunjang, eksport RM382.9 bilion lima bulan pertama 2026, 48.2% daripada jumlah eksport.
- Pelaburan AI meluas kepada pembekal teknologi, peralatan dan komponen, dengan fokus rantaian bekalan tetapi terdedah kepada risiko perbelanjaan modal, kitaran semikonduktor dan sekatan perdagangan.
Menurut Rakuten Trade Research, walaupun Johor telah mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama pusat data, ekosistem perindustrian berkaitan AI Malaysia lebih meluas dan tersebar di beberapa negeri, khususnya negeri yang mempunyai keupayaan dalam sektor semikonduktor dan pembuatan.
“Pulau Pinang menyumbang 48.9 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada Jun 2026, jauh mengatasi Johor yang mencatatkan 17.6 peratus.
“Sektor elektrik dan elektronik (E&E) turut menjadi antara tunjang penting kepada ekosistem tersebut, dengan eksport mencecah RM382.9 bilion dalam tempoh lima bulan pertama 2026, menyumbang 48.2 peratus daripada jumlah eksport negara,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, perkembangan itu menunjukkan peluang pelaburan AI tidak hanya tertumpu kepada syarikat yang membina atau mengendalikan pusat data, sebaliknya turut meliputi syarikat yang membekalkan teknologi, peralatan dan komponen kepada ekosistem berkenaan.
“Perkembangan itu sudah mula dilihat dalam landskap pelaburan dan korporat negara, dengan projek terkini meliputi pembuatan wafer semikonduktor, modul kuasa termaju untuk pusat data AI serta komponen semikonduktor khusus,” katanya dalam kenyataan sama.
Tambah beliau, tumpuan pelabur ketika ini juga semakin beralih kepada rantaian bekalan AI, dengan keupayaan syarikat menukar permintaan kepada pesanan, hasil dan keuntungan yang mampan.
Bagaimanapun, sektor berkenaan masih terdedah kepada beberapa risiko, termasuk kelembapan dalam perbelanjaan modal berkaitan AI, kitaran turun naik industri semikonduktor, kebergantungan kepada pelanggan tertentu serta sekatan perdagangan.
“Bagi pelabur Malaysia, peluang dalam fasa seterusnya perkembangan AI dijangka bukan sahaja tertumpu kepada syarikat yang membina pusat data, tetapi turut merangkumi syarikat yang membekalkan teknologi, peralatan dan komponen yang diperlukan untuk menyokong ekosistem AI,” katanya lagi.