UNGA : Negara kuasa pertengahan, ASEAN mampu pengaruh keputusan global

Bendera negara-negara anggota ASEAN / Foto fail BERNAMA

NEW YORK, 27 September – Malaysia mahu negara kuasa pertengahan dan pertubuhan serantau seperti ASEAN diberi peranan lebih besar dalam membentuk keputusan global ketika persaingan kuasa besar semakin mempengaruhi hala tuju dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Negara kuasa pertengahan boleh mengekalkan ruang dialog apabila kuasa besar tidak mencapai persetujuan.
  • ASEAN harus lebih berani membawa suara dan kepentingan rantau dalam perbincangan antarabangsa.
  • Kedudukan strategik ASEAN menjadikannya penting dalam perdagangan, ekonomi dan rantaian bekalan global.
  • Melibatkan perspektif rantau meningkatkan keterangkuman sistem antarabangsa dan memberi ruang kepada semua menentukan masa depan bersama.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kebanyakan negara ASEAN bukan kuasa besar, namun keputusan yang dibuat segelintir negara boleh memberi kesan kepada seluruh masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata, negara kuasa pertengahan seperti Malaysia boleh membantu mengekalkan ruang dialog, terutama ketika kuasa besar gagal mencapai persetujuan.

“Negara kuasa pertengahan seperti Malaysia boleh membantu memastikan dialog terus berlangsung apabila kuasa besar tidak dapat mencapai persetujuan. Pertubuhan serantau seperti ASEAN pula boleh membawa suara rakyat ke dalam perbahasan global.

“Kita mesti yakin untuk bersuara bagi pihak rantau kita, bukan membiarkan kita diwakili oleh pihak lain,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum Sesi Ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini.

Datuk Seri Mohamad berkata, ASEAN perlu lebih berani membawa pandangan dan kepentingan rantau itu dalam perbincangan antarabangsa, terutama ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik dan persaingan kuasa besar.

ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 untuk mempromosikan keamanan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi, serta mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara di Asia Tenggara.

Ia kini mempunyai 11 negara anggota, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.

Dengan jumlah penduduk lebih 690 juta orang dan kedudukan strategik di antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, ASEAN merupakan antara rantau penting dalam perdagangan, ekonomi dan rantaian bekalan global.

Datuk Seri Mohamad menambah, peranan ASEAN penting bagi memastikan perspektif rantau itu turut dipertimbangkan dalam keputusan antarabangsa.

Beliau berkata, pendekatan itu dapat membantu memastikan sistem antarabangsa lebih inklusif dan memberi ruang kepada semua rantau untuk turut menentukan keputusan yang mempengaruhi masa depan bersama.

Datuk Seri Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 September bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Ke-81 UNGA.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.