UNGA : Malaysia seru dialog, diplomasi elak konflik global terus meruncing

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum Sesi Ke-81 UNGA di New York / Foto RTM

NEW YORK, 27 September – Malaysia menyeru semua pihak mengutamakan dialog dan diplomasi bagi mengelakkan konflik di Asia Barat terus meruncing dan memberi kesan lebih luas kepada dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik Asia Barat berisiko menggangu laluan tenaga dan perdagangan utama seperti Selat Hormuz dan Selat Bab el-Mandeb.
  • Kesan konflik dirasai rakyat global melalui kenaikan harga makanan, bahan api dan kos sara hidup.
  • Malaysia menggesa hentikan tindakan yang meningkatkan ketegangan dan kembali kepada usaha diplomasi serta mempertahankan ruang dialog.
  • Konflik ancam nyawa orang awam dan berisiko mencetuskan kejutan besar terhadap pasaran serta kestabilan ekonomi dunia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, konflik yang semakin memuncak di rantau itu berisiko mengganggu laluan utama tenaga dan perdagangan dunia, termasuk Selat Hormuz dan Selat Bab el-Mandeb.

Beliau berkata, kesannya boleh dirasai rakyat biasa di seluruh dunia melalui kenaikan harga makanan, bahan api dan kos sara hidup.

“Akibat konflik tidak terhenti di rantau ini. Sebuah keluarga di Asia Tenggara tidak mempunyai kaitan dengan pertikaian ini, namun keluarga itu tetap menanggung kesannya apabila harga makanan, bahan api dan kos sara hidup meningkat,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum Sesi Ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bersatu (UNGA), di sini.

Datuk Seri Mohamad berkata, Malaysia menggesa semua pihak menghentikan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan kembali kepada usaha diplomasi.

Menurutnya, ruang dialog perlu terus dipertahankan kerana penyelesaian melalui rundingan masih boleh dicapai.

Beliau berkata, konflik yang semakin buruk bukan sahaja mengancam nyawa dan kehidupan orang awam, malah berisiko mencetuskan kejutan lebih besar terhadap pasaran global.

Malaysia, katanya, akan terus menggalakkan penyelesaian secara aman bagi memastikan ketegangan tidak merebak dan menjejaskan kestabilan serta ekonomi dunia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.