
NEW YORK, 27 September – Malaysia mahu negara-negara Selatan Global diberi peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju dan peraturan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
- Malaysia mahu negara-negara Selatan Global diberi peranan lebih besar tentukan hala tuju dan peraturan AI.
- Negara membangun tidak sepatutnya hanya menjadi pengguna, pasaran atau destinasi pelaburan; mesti menjadi rakan dalam inovasi.
- Manfaat AI perlu dikongsi secara adil dan Selatan Global mesti turut terlibat tentukan masa depan teknologi.
- Pembangunan AI mesti saksama, ambil kira permintaan air, tenaga, tanah dan sumber; teknologi mesti berkhidmat kepada kemanusiaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara membangun tidak seharusnya hanya menjadi pengguna, pasaran atau destinasi pelaburan teknologi.
Beliau berkata, perkembangan AI kini mengubah cara ekonomi beroperasi, masyarakat berfungsi dan kerajaan membuat keputusan.
“Negara-negara Selatan Global tidak boleh hanya menjadi destinasi pusat data, sedangkan keputusan mengenai AI dibuat di tempat lain.
Kita mesti menjadi rakan dalam inovasi, bukan sekadar pelanggan dan pasaran, atau hanya destinasi pelaburan,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada debat umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81 di sini.
Datuk Seri Mohamad berkata, manfaat AI perlu dikongsi secara lebih adil dengan negara-negara Selatan Global turut terlibat dalam menentukan masa depan teknologi berkenaan.
Beliau turut menekankan keperluan pembangunan AI yang lebih saksama, termasuk mengambil kira permintaan tinggi terhadap air, tenaga, tanah dan sumber lain bagi membangunkan infrastruktur teknologi.
“Teknologi mesti berkhidmat kepada kemanusiaan. Bukan sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata penyelesaiannya, ialah tidak boleh menyerahkan kepada sebilangan kecil syarikat atau negara untuk menentukan peraturan bagi setiap pihak.
Selatan Global terdiri daripada 134 negara, mewakili kira-kira 80 peratus daripada populasi dunia, menurut PBB.
Datuk Seri Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 UNGA.