UNGA : PBB perlu utamakan pencegahan konflik, selesaikan krisis Gaza – DS Mohamad Hasan

Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Wakil Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour (kanan) di New York / Foto FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

NEW YORK, 27 September – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengutamakan pencegahan konflik dan penyelesaian krisis, khususnya di Gaza, berbanding hanya bertindak selepas perang berlaku.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menggesa gencatan senjata segera dan akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan ke Gaza.
  • Penggunaan kuasa veto oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan menghalang resolusi substantif, menuntut reformasi dan peningkatan kebertanggungjawaban.
  • Malaysia kekal komited memperkukuh sistem antarabangsa, menuntut pelaksanaan undang-undang antarabangsa serta sokongan penubuhan negara Palestin merdeka.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan yang hanya mengurus kesan perang melalui bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula tidak boleh menjadi hala tuju multilateralisme.

“Kita mesti beralih daripada tindak balas kepada pencegahan. Tiada tempat yang lebih mendesak untuk usaha ini selain Gaza,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum Sesi Ke-81 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di sini, pada kira-kira pukul 3.30 petang waktu tempatan (3.30 pagi waktu Malaysia).

Beliau berkata, Malaysia bersama negara anggota lain telah menggunakan pelbagai saluran untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin, termasuk menggesa gencatan senjata segera dan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sekatan.

Malaysia turut menyokong usaha kemanusiaan di Palestin, menggesa tindakan terhadap Israel dan menyokong keahlian penuh Palestin dalam PBB.

Bagaimanapun, Datuk Seri Mohamad berkata, usaha bersama Perhimpunan Agung PBB berdepan kekangan akibat penggunaan kuasa veto oleh anggota tetap Majlis Keselamatan.

Menurutnya, keadaan di Gaza menunjukkan keperluan mendesak untuk PBB memperkukuh sistem multilateralisme supaya mampu mencegah konflik dan bertindak berkesan ketika krisis berlaku.

“Tindakan lebih lantang daripada kata-kata,” katanya.

Beliau berkata, konflik Gaza juga menunjukkan pentingnya undang-undang antarabangsa dilaksanakan secara konsisten serta suara rakyat yang terjejas akibat konflik diberi perhatian.

Penggunaan kuasa veto oleh lima anggota tetap PBB iaiatu Amerika Syarikat, Rusia, China, Perancis dan United Kingdom, boleh menghalang penerimaan resolusi substantif walaupun mendapat sokongan majoriti anggota Majlis Keselamatan.

Dalam isu Gaza, kebuntuan itu turut menjadi antara perkara yang mencetuskan gesaan berterusan untuk reformasi sistem PBB dan peningkatan kebertanggungjawaban dalam penggunaan kuasa veto.

Malaysia sebelum ini konsisten menyokong gencatan senjata, akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan dan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka.

Datuk Seri Mohamad turut menegaskan, Malaysia tidak akan berpaling daripada PBB atau meninggalkan multilateralisme hanya kerana sistem itu mempunyai kelemahan.

Sebaliknya, katanya, Malaysia akan terus berusaha memperkukuh sistem antarabangsa supaya lebih berkesan, adil dan kembali mendapat kepercayaan masyarakat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.