Junior AiREd perluas pendedahan IoT, robotik

Foto RTM

ARAU, 25 Oktober – Seramai 80 pelajar daripada sembilan sekolah rendah di Perlis menyertai Junior AiREd Advanced BootCamp 2026 bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Internet Benda (IoT), robotik serta teknologi digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program meneruskan bengkel Junior AiREd untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran guru serta murid dalam IoT dan robotik.
  • Pendedahan kepada konsep, aplikasi dan integrasi IoT menggunakan robot mBot2 melalui pendekatan teori dan praktikal.
  • Peserta berpeluang meningkatkan pemikiran kritikal, kemahiran menyelesaikan masalah dan hasilkan inovasi berasaskan teknologi.
  • FCoEE komited memperkasa pendidikan berteknologi serta menjadikan Junior AiREd platform pembangunan bakat digital dan guru sebagai penyebar ilmu.

Program anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dengan kerjasama Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN Perlis) itu berlangsung di Dewan Sivik Arau, Sabtu lepas, dengan penyertaan guru Junior AiREd.

Pengerusi Eksekutif FCoEE Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata program itu merupakan kesinambungan siri bengkel Junior AiREd yang dilaksanakan bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran guru serta murid dalam bidang teknologi, khususnya IoT dan robotik.

Beliau berkata penganjuran itu turut memberi peluang kepada peserta memperluas pengetahuan sedia ada melalui pendedahan kepada konsep, aplikasi dan integrasi teknologi IoT menggunakan robot mBot2.

“Menerusi pendekatan pembelajaran secara teori dan praktikal, peserta berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dalam pembangunan sistem robotik pintar berasaskan IoT, di samping meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan menghasilkan inovasi berasaskan teknologi,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut berkata pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen berterusan FCoEE dalam memperkasa pendidikan berasaskan teknologi serta menyediakan ruang pembelajaran yang dapat mencungkil potensi murid dalam bidang kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi digital.

“Penglibatan guru dalam program ini juga diharapkan dapat membantu memperluas penerapan ilmu dan kemahiran yang diperoleh kepada murid di sekolah masing-masing,” katanya.

FCoEE berharap inisiatif Junior AiREd dapat terus menjadi platform pembangunan bakat digital dalam kalangan murid sekolah rendah di Perlis, sekali gus melahirkan generasi yang berdaya saing, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran perkembangan teknologi masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.