25,000 berhimpun di Madrid, desak pencen awam dilindungi

Foto AFP

MADRID, 25 Oktober – Kira-kira 25,000 orang berhimpun di tengah Madrid, Sepanyol, pada Sabtu bagi mendesak perlindungan sistem pencen awam menjelang pilihan raya parlimen negara itu pada 29 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peserta membawa sepanduk 'Lindungi dan jamin pencen kami', menuntut perlindungan sistem pencen awam.
  • Perdebatan mengenai kemampanan pencen dan kos sara hidup, Sanchez menuduh pembangkang kanan mahu melemahkan kenaikan inflasi.
  • Penjawat awam bimbang tidak menerima pencen masa depan dan menolak penswastaan kerana risiko bergantung pada pasaran saham.
  • Kira-kira 6.8 juta rakyat Sepanyol menerima pencen awam, purata bayaran bulanan 1,576 euro setakat September.

Perhimpunan itu berlangsung ketika timbul perdebatan mengenai kemampanan sistem pencen dan kos sara hidup, dengan Perdana Menteri, Pedro Sanchez, menuduh pembangkang berhaluan kanan merancang untuk melemahkan kenaikan pencen berdasarkan inflasi.

Peserta berarak dari stesen kereta api Atocha ke Gran Via sambil membawa sepanduk yang antara lain tertera mesej “Lindungi dan jamin pencen kami”.

Seorang penjawat awam berusia 38 tahun, Juan Fernandez, berkata, beliau bimbang tidak akan menerima pencen pada masa hadapan dan menolak usaha menswastakan sistem berkenaan.

“Nilai mana-mana bahagian yang diswastakan akan bergantung pada harga pasaran saham. Akan ada pihak yang untung dan ada yang rugi,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Parti Popular (PP), Ester Munoz, meramalkan sistem pencen semasa akan “runtuh” dan menggesa pembaharuan, manakala Presiden PP, Alberto Nunez Feijoo, berjanji meneruskan kenaikan pencen berdasarkan inflasi sekiranya partinya memenangi pilihan raya.

Sanchez pula mengkritik PP kerana menolak undang-undang yang memperkenalkan mekanisme pelarasan pencen berdasarkan inflasi pada 2022.

Kira-kira 6.8 juta rakyat Sepanyol menerima pencen awam, dengan purata bayaran bulanan sebanyak 1,576 euro (kira-kira RM7,700) setakat September lalu, menurut Kementerian Keselamatan Sosial negara itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.