147 hospital KKM raih pensijilan hijau

Foto FB Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 26 September – Sebanyak 147 hospital dan institusi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya memperoleh pensijilan hijau menerusi pelaksanaan Fasiliti Kesihatan Lestari.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKM komited mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kecekapan tenaga dan memperkukuh pengurusan kualiti udara serta sisa di fasiliti kesihatan.
  • Kelestarian sistem kesihatan perlu diterjemahkan melalui penggunaan ilmu dan data, bukan sekadar pembangunan infrastruktur hijau.
  • Perubahan iklim mengubah suhu, taburan hujan dan kelembapan, mempengaruhi ekosistem vektor serta meningkatkan risiko penularan denggi.
  • Pendekatan perlu beralih dari reaktif kepada ramalan dan pencegahan awal, komuniti guna perangkap telur nyamuk sebagai sistem amaran awal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen KKM mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kecekapan tenaga serta memperkukuh pengurusan kualiti udara dan sisa di fasiliti kesihatan.

“Kelestarian dalam sistem kesihatan bukan sekadar melibatkan pembangunan infrastruktur hijau, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi penggunaan ilmu dan data bagi melindungi kesihatan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat KKM 2026 di Institut Kesihatan Negara, di sini hari ini.

Mengulas kesan perubahan iklim terhadap kesihatan, beliau berkata perubahan suhu, taburan hujan dan kelembapan boleh mempengaruhi ekosistem vektor, khususnya risiko penularan denggi.

Justeru, katanya, pendekatan kesihatan perlu beralih daripada bersifat reaktif kepada ramalan dan pencegahan risiko lebih awal.

“Penggunaan perangkap telur nyamuk berpelekat oleh komuniti bagi mengesan nyamuk Aedes merupakan antara pendekatan berasaskan sains yang diterjemahkan kepada tindakan di lapangan.

“KKM boleh menyediakan data, kepakaran dan teknologi, tetapi rakyatlah yang berada di lapangan setiap hari. Komuniti bukan sekadar penerima intervensi, mereka adalah sistem amaran awal. Inilah erti sebenar pendekatan ‘Whole-of-Society’,” katanya.

Dalam pada itu, KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) turut membangunkan Panduan Penilaian Kerentanan Kesihatan Terhadap Perubahan Iklim dalam Kalangan Komuniti Pulau Kecil 2026 bagi menyokong perancangan adaptasi kesihatan berasaskan bukti saintifik.

Dr Dzulkefly berkata KKM akan terus memperkukuh survelan penyakit sensitif iklim dengan menghubungkan data persekitaran dan penyakit bagi memantau ancaman seperti denggi, malaria, penyakit bawaan makanan dan air, selain kesan jerebu serta gelombang haba.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.