Malaysia seru komitmen global tangani ancaman pandemik

Foto bernama

NEW YORK, 26 September – Malaysia menegaskan pencegahan dan kesiapsiagaan menghadapi pandemik kekal sebagai keutamaan negara, selain memerlukan komitmen bersama masyarakat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuhan sistem kesihatan melalui Pelan Tindakan Sekuriti Kesihatan Kebangsaan 2025-2030: kesiapsiagaan, pemantauan penyakit, amaran awal, kemampuan makmal dan penyelarasan kecemasan.
  • Tekankan pendekatan One Health untuk ancaman berkaitan manusia, haiwan dan alam sekitar serta sokongan kepada Perjanjian Pandemik WHO dan Peta Jalan Pembangunan Vaksin Negara.
  • Perlu pembiayaan mencukupi dan mampan serta solidariti antarabangsa berterusan untuk melengkapkan usaha negara dan memastikan akses kesihatan adil untuk semua.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengalaman pandemik COVID-19 membuktikan tiada negara mampu menangani ancaman kesihatan secara bersendirian.

“Malaysia telah mengambil beberapa langkah memperkukuh sistem kesihatan berdasarkan pengalaman sepanjang pandemik COVID-19, termasuk menerusi Pelan Tindakan Sekuriti Kesihatan Kebangsaan 2025-2030.

“Langkah itu meliputi pengukuhan kesiapsiagaan sistem kesihatan, pemantauan penyakit, sistem amaran awal, keupayaan makmal serta penyelarasan kecemasan.

“Malaysia turut memberi penekanan kepada pendekatan One Health bagi menangani ancaman kesihatan yang berpunca daripada interaksi manusia, haiwan dan alam sekitar,” katanya ketika menyampaikan intervensi pada Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Pencegahan, Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Pandemik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad menegaskan kesiapsiagaan pandemik perlu disertai akses kesihatan yang adil, termasuk melalui mekanisme perkongsian patogen secara saksama dengan mengambil kira undang-undang dan kedaulatan negara.

“Malaysia turut mengalu-alukan Perjanjian Pandemik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), selain memperkukuh keupayaan membangunkan dan menghasilkan produk kesihatan utama menerusi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan pembiayaan mencukupi dan mampan bagi memastikan dunia lebih bersedia menghadapi ancaman kesihatan pada masa depan.

Menurutnya, sokongan antarabangsa perlu melengkapi usaha dalam negara, di samping memperkukuh sistem kesihatan dan memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan untuk semua.

Beliau menyeru solidariti antarabangsa tidak hanya dizahirkan ketika krisis, sebaliknya menjadi komitmen berterusan sebelum berlaku sebarang kecemasan kesihatan pada masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.