
LABUAN, 26 September – Penganjuran Borneo Arts Festival (BAF) 2026 terus membuktikan peranannya sebagai wadah utama dalam mengetengahkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan Borneo menerusi penglibatan aktif pempamer tempatan serta luar negara.
- BAF 2026 membantu pengusaha tempatan memperluas pasaran produk kreatif ke peringkat lebih tinggi.
- Usahawan dari Pitas dipamerkan di Labuan, membina jaringan dan mempromosi hasil keluaran tempatan.
- Persatuan tempatan memanfaatkan festival untuk memperkenalkan dan mengembangkan seni anyaman tradisional.
- Penyertaan antarabangsa serta pelbagai aktiviti seni, persembahan dan bengkel menarik memeriahkan BAF 2026.
Bagi para peserta, platform tahunan ini bukan sahaja membuka ruang memperkenalkan hasil seni dan kraftangan unik, malah memberi peluang berinteraksi secara terus dengan pengunjung serta membina jaringan strategik bersama penggiat industri kreatif dari negara jiran.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, BAF 2026 memberi impak positif kepada pengusaha tempatan untuk memperluas pasaran produk kreatif mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Kita menghadirkan usahawan dari daerah Pitas untuk membawa hasil keluaran tempatan mereka ke Labuan. Sebagai wakil rakyat, saya amat gembira melihat kejayaan usahawan kita mempamerkan produk sendiri di platform berprestij ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas ketika ditemui pemberita.
Manfaat penganjuran BAF 2026 turut diakui oleh para peserta pameran yang menganggap festival berkenaan sebagai pemangkin penting dalam mempromosikan seni tempatan.
Peserta pameran dari Labuan, Puasa Tamin @ Sitamin menyifatkan festival itu sebagai peluang keemasan bagi persatuan tempatan memperkenalkan serta mengembangkan seni anyaman tradisional kepada khalayak ramai.
Penyertaan antarabangsa turut memeriahkan suasana apabila peserta dari Brunei Darussalam, Umi Zaty Bazillah Zakaria memuji penganjuran konsisten festival berkenaan.
Menurut beliau, BAF merupakan platform terbaik buat penggiat seni Brunei untuk mempamerkan keunikan karya mereka di Labuan.
Selain pameran kraftangan dan seni visual, BAF 2026 turut disemarakkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan seni kebudayaan, pertandingan tarian, peragaan fesyen, bengkel seni, serta aktiviti interaktif bersama pengunjung.