
KUALA LUMPUR, 26 September – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh rangkaian keselamatan negara menerusi kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan selamat.
- Keselamatan negara bukan tanggungjawab satu agensi; memerlukan peranan sinergi setiap agensi di bawah KDN.
- Usaha meliputi pengesanan ancaman, pemutusan rangkaian jenayah serta pengukuhan kawalan sempadan darat dan perairan.
- Keberhasilan PDRM, JIM dan APMM serta penolakan rasuah anggota mengukuhkan keupayaan penguatkuasaan dan keselamatan rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keselamatan negara bukan tanggungjawab satu agensi atau bergantung kepada kejayaan sesuatu operasi semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan setiap agensi di bawah KDN.
Katanya, usaha itu merangkumi keupayaan mengesan ancaman, memutuskan rangkaian jenayah serta memperkukuh kawalan di sempadan darat dan perairan negara.
“Risikan dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan bunga ganja bernilai RM33.4 juta.
“Pada masa sama, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bukan sahaja menahan 59 pendatang asing tanpa izin (PATI), tetapi turut memutuskan rangkaian pengangkutan yang memudah cara kegiatan tersebut.
“Di perairan negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus memperkukuh kawalan sempadan, termasuk menahan sebuah vesel yang membawa 36 warga Indonesia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kekuatan penguatkuasaan bukan hanya diukur berdasarkan jumlah tangkapan atau nilai rampasan, tetapi turut bergantung kepada integriti anggota yang memegang amanah.
Sehubungan itu, beliau menghargai keberanian anggota PDRM, JIM dan APMM yang memilih untuk menolak atau melaporkan rasuah.
“Inilah rangkaian keselamatan KDN yang kita bina dan perkukuh setiap hari mengesan ancaman, memutuskan rangkaian jenayah, mengukuhkan sempadan dan mempertahankan integriti.
“Pelbagai agensi, dengan tanggungjawab yang berbeza, tetapi satu matlamat yang sama Malaysia yang selamat untuk rakyat,” katanya.