
KUALA LUMPUR, 26 September – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan buku Kembara Dunia: 100 Hari, 40 Syarahan, 15 Negara yang merakamkan perjalanan intelektual Profesor Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang merentasi 15 negara dalam tempoh 100 hari.
- Buku menghimpunkan pengalaman, pemerhatian dan refleksi penulis tentang perkembangan ilmu, penyelidikan, pendidikan tinggi serta kehidupan masyarakat di negara lawatan.
- Karya menonjolkan kepelbagaian budaya serta persekitaran ilmu, termasuk perbandingan bandar seperti Boston, Oxford, Istanbul dan Oslo.
- Profesor Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, mantan Naib Canselor UTM, penerima Anugerah Merdeka dan Tokoh Kejuruteraan Negara, pengarang berbilang artikel dan buku.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan pelancaran buku terbitan UTM Press tersebut di Dewan Azman Hashim, UTM di sini.
Nashkah mengenai pengembaraan Dr. Zaini bermula dari 16 April hingga 26 Julai 2025, melibatkan kunjungannya ke Jepun, Jerman dan Boston, Amerika Syarikat, selain penyampaian 40 syarahan serta pertemuan dengan lebih 100 sarjana terkemuka dunia.
“Buku ini bukan sekadar catatan perjalanan, sebaliknya menghimpunkan pengalaman, pemerhatian dan refleksi penulis berkaitan perkembangan ilmu, penyelidikan, pendidikan tinggi serta kehidupan masyarakat di negara yang dikunjungi.
“Ia turut mengetengahkan kepelbagaian budaya dan persekitaran ilmu, termasuk perbandingan bandar seperti Boston, Oxford, Istanbul dan Oslo serta persoalan mengenai pemahaman sesebuah masyarakat menerusi aspek seperti Indeks Kebersihan dan Indeks Budaya Ilmu,” menurut UTM.
Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata pengalaman berkenaan mencerminkan kepentingan mobiliti intelektual dalam memperluas perspektif dan memperkukuh jaringan ilmu merentas sempadan.
“Kembara ini mengingatkan kita bahawa dunia akademik tidak terhad kepada bilik kuliah, makmal atau kampus, sebaliknya ilmu berkembang apabila dikongsi, diuji melalui pertemuan dengan pelbagai masyarakat dan diperkaya dengan pengalaman yang membina perspektif baharu.
“Lebih penting, buku ini menunjukkan bahawa mobiliti intelektual bukan sekadar perpindahan fizikal tetapi proses memperluas ufuk pemikiran,” katanya semasa sembah ucapan pada Majlis Pelancaran Buku berkenaan.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTM Tan Sri Azman Mokhtar.
Profesor Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini merupakan mantan Naib Canselor UTM bagi tempoh 2008 hingga 2013 dan penerima Anugerah Merdeka 2009 serta Tokoh Kejuruteraan Negara 2025.
Beliau turut menghasilkan lebih 300 artikel saintifik, 2,000 artikel umum dan 58 buku.