Seminar geopolitik perkukuh daya tahan hadapi ketidaktentuan global

Foto RTM

SERDANG, 26 September – Seminar Antarabangsa Geopolitik dan Perubahan Global menjadi wadah memperkukuh keharmonian serta membina daya tahan masyarakat dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi, perubahan iklim dan penyebaran maklumat palsu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Meningkatkan kefahaman geopolitik dan menilai implikasi terhadap Malaysia, ASEAN serta dunia Islam.
  • Perkembangan teknologi, perubahan iklim dan landskap geopolitik tidak menentu memerlukan gerakan Islam menyesuaikan pendekatan agar agenda pembangunan kekal relevan.
  • Perbincangan antarabangsa fokus persaingan kuasa besar, memperkukuh autonomi strategik, kestabilan serantau dan pembinaan masyarakat majmuk berteraskan Malaysia MADANI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, seminar berkenaan penting bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap perkembangan geopolitik semasa serta menilai implikasinya terhadap Malaysia, ASEAN dan dunia Islam.

“Perkembangan teknologi, perubahan iklim dan landskap geopolitik yang semakin tidak menentu memerlukan gerakan Islam menyesuaikan pendekatan bagi memastikan agenda pembangunan dan perancangan kekal relevan dengan perubahan zaman,” katanya selepas merasmikan seminar berkenaan di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.

Seminar itu turut menghimpunkan ilmuan dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu ASEAN mendepani persaingan kuasa besar, memperkukuh autonomi strategik dan kestabilan serantau, selain gerakan Islam dalam tata dunia baharu serta pembinaan masyarakat majmuk yang berdaya tahan berteraskan Malaysia MADANI.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan Pidato Pengukuhan MADANI: Sunnah Peradaban pada malam ini sempena Majlis Apresiasi Tiga Generasi Menyambung Legasi.

Turut berlangsung ialah Ijtimak Harakiy 2026 WADAH-ABIM-PKPIM kali ke-8 yang dijadual berlangsung sehingga esok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.