
NEW YORK, 27 September – Kesatuan Eropah (EU) memperuntukkan 710 juta euro bagi membantu penduduk yang terjejas akibat krisis, bencana alam atau konflik.
- Dana itu disalurkan terutamanya kepada negara Afrika, membantu komuniti kehilangan tempat tinggal dan komuniti penerima.
- 380 juta euro untuk Afrika Sub-Sahara melindungi migran rentan, sokong pemulangan sukarela, integrasi semula dan tadbir urus migrasi.
- 252 juta euro daripada rizab kecemasan bantu komuniti terjejas konflik, perpindahan paksa, wabak dan bencana termasuk Palestin, Lubnan, Ukraine dan Congo.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, sebahagian besar dana itu akan disalurkan kepada negara di benua Afrika.
“Konflik, cuaca ekstrem dan peningkatan kos sara hidup menjejaskan kehidupan ramai penduduk di seluruh dunia.
“Melalui pakej hari ini, kami akan membantu komuniti yang kehilangan tempat tinggal di seluruh Afrika, serta komuniti yang menerima mereka,” katanya dalam kenyataan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut kenyataan itu, EU akan menyalurkan 380 juta euro kepada Afrika Sub-Sahara bagi melindungi pendatang yang rentan, menyokong kepulangan secara sukarela dan integrasi semula, memperkukuh tadbir urus migrasi, serta menangani perpindahan secara paksa.
Sebanyak 252 juta euro pula diperuntukkan daripada rizab bantuan kecemasan blok itu bagi membantu komuniti yang terjejas akibat konflik, perpindahan secara paksa, wabak penyakit dan bencana alam.
Peruntukan berkenaan termasuk bantuan kepada penduduk di Afrika Sub-Sahara, wilayah Palestin dan Lubnan, selain Ukraine bagi membuat persiapan menghadapi musim sejuk yang akan datang.
Sejumlah dana yang lebih kecil akan disalurkan bagi menggalakkan kestabilan di rantau Tasik-Tasik Besar Afrika yang dilanda krisis, serta membantu Republik Demokratik Congo menangani wabak Ebola di bahagian timur negara itu. -AFP