Lelaki ditahan bawa tiga liter air ketum masuk Malaysia

PGA merampas tiga liter air ketum daripada seorang lelaki warga Thailand yang ditahan di Pengkalan Haram Azizah, Tumpat, Kelantan/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 27 September – Seorang lelaki warga Thailand ditahan selepas dipercayai memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah dengan membawa tiga liter air ketum di Pengkalan Haram Azizah, Tumpat, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ditahan kira-kira pukul 4.10 petang selepas dikesan menaiki perahu dari arah Thailand menghampiri tebing sungai.
  • Memiliki Border Pass Thailand; pemeriksaan lanjut terhadap tubuh dan beg silang dilakukan.
  • Pemeriksaan menemui dua bungkusan cecair disyaki air ketum serta sebotol ubat batuk 80 mililiter.
  • Kes diserahkan kepada BSJN dan BSJ IPD Pasir Mas; disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata lelaki berusia 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.10 petang selepas dikesan menaiki perahu dari arah Thailand menghampiri tebing sungai.

Katanya, pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan memiliki Border Pass Thailand sebelum pemeriksaan lanjut terhadap tubuh dan beg silang miliknya dilakukan.

“Hasil pemeriksaan menemukan dua bungkusan mengandungi kira-kira tiga liter cecair disyaki air ketum serta sebotol ubat batuk berkapasiti 80 mililiter,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, turut dirampas sebuah beg silang berwarna hitam, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM150.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku masuk ke Malaysia untuk bekerja sebagai penjaja di sekitar Kota Bharu dan air ketum berkenaan dibeli di Golok untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Menurutnya, suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke Komtak Taman Bakti sebelum kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.