fb fb fb fb fb

Varieti padi wangi tempatan jadi alternatif kepada beras wangi import

Memperkukuh sektor keterjaminan makanan negara / Foto RTM

PASIR SALAK, 17 Ogos - FELCRA Bhd (FELCRA) terus memperkukuh sektor keterjaminan makanan negara dengan mengkomersialkan Padi FELCRA MRQ 107, iaitu varieti padi wangi tempatan yang menjadi alternatif berkualiti kepada beras wangi import.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu sekaligus menjadi sejarah penting buat agensi dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu dalam memacu reformasi menyeluruh industri padi negara.

" Kawasan Seberang Perak seluas lebih 3,400 hektar yang diusahakan secara moden oleh Felcra telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan purata hasil mencecah lapan tan sehektar setahun", katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah turut menyatakan, daya usaha itu juga memperkukuh keterjaminan makanan negara, antaranya dengan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras import, selain membuka pasaran baharu.

" Saya menjangkakan bahawa kira-kira 27,000 tan metrik padi bersamaan dengan lebih 16,000 tan metrik beras setahun yang mampu dikeluarkan dan kita harap ianya akan menjadi contoh yang baik", kata beliau lagi ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2025 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad di Perkarangan Benih Padi FELCRA Plantation Sdn. Bhd di Pasir Salak.

HASRON BIN HASSAN