UPSI terajui projek pemuliharaan hutan teknologi pintar di CFS Gerik

Dr. Md Amin (empat dari kiri) bergambar pada Majlis Pelancaran Program Nature Pillar WWF-Malaysia dan P&G Amerika Syarikat di Belum Rainforest Resort, Perak

TANJONG MALIM, 15 April – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerajui pelaksanaan projek pemuliharaan hutan berteknologi pintar di kawasan Central Forest Spine (CFS) Gerik, Perak apabila menerima geran antarabangsa berjumlah RM3 juta menerusi inisiatif EduGreen@UPSI.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan teknologi konservasi berasaskan AI, IoT dan bioakustik untuk pemantauan biodiversiti dan keselamatan hutan masa nyata.
  • Universiti menggabungkan kepakaran teknologi dan penyelidikan bagi menyokong agenda pemuliharaan hutan negara.
  • Projek diketuai Prof Dr Che Zalina, diselaraskan Dr Karthigayan; turut melibatkan kepimpinan WWF dan wakil P&G.

Geran tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara Procter & Gamble (P&G) Amerika Syarikat dan World Wide Fund for Nature (WWF-Malaysia) di bawah program Nature Pillar bagi pelaksanaan projek ‘Integrated Smart Bioacoustic Project for Wildlife & Forest Conservation’.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI sebagai peneraju projek memfokuskan pembangunan teknologi konservasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), ‘Internet of Things (IoT)’ dan bioakustik pintar bagi memperkukuh pemantauan biodiversiti serta keselamatan hutan secara masa nyata di kawasan CFS.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Nature Pillar WWF-Malaysia dan P&G Amerika Syarikat di Belum Rainforest Resort, Perak yang berlangsung hari ini yang bertujuan menghimpunkan kepimpinan industri global, organisasi konservasi antarabangsa serta delegasi UPSI sebagai rakan strategik utama pelaksana projek.

Beliau berkata peranan universiti sebagai peneraju projek itu mencerminkan keupayaan institusi berkenaan dalam menggabungkan kepakaran teknologi dan penyelidikan bagi menyokong agenda pemuliharaan hutan negara.

“Melalui penerapan teknologi AI dan IoT, UPSI berupaya membangunkan sistem pemantauan hutan secara masa nyata yang lebih cekap dan berimpak tinggi dalam usaha melindungi hidupan liar serta ekosistem hutan”, katanya.

Menurut beliau, kerjasama strategik bersama WWF-Malaysia dan P&G Amerika Syarikat turut membuka peluang penglibatan lebih luas dalam kalangan penyelidik, pelajar serta komuniti setempat.

Program Nature Pillar di pihak WWF-Malaysia diterajui oleh Dr Karthigayan Gunasegaran yang menyelaras pelaksanaan strategik inisiatif konservasi berimpak tinggi bersama rakan industri global dan institusi akademik termasuk UPSI.

Projek berkenaan diketuai oleh Prof Dr Che Zalina Zulkifli dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), UPSI sebagai ketua projek yang menerajui pembangunan sistem pemantauan hidupan liar bersepadu berasaskan teknologi pintar.

Prof Dr Che Zalina berkata kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai institusi pendidikan yang memimpin inovasi teknologi konservasi hutan tropika berasaskan AI dan IoT di Malaysia serta rantau ini.

Turut hadir Pengerusi WWF-Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar bersama barisan pengurusan tertinggi WWF-Malaysia, wakil kepimpinan P&G Amerika Syarikat.